Ahad, 25 April 2010
JANGAN MEMISKINKAN DIRI - NANTI ALLAH RESTUI
Memang benar semua warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun dan telah mendaftar kepada SPR diangap layak mengundi. Namun bukan itu kriteria yang melayakan seseorang menerima bantuan khususnya di bawah program rakyat termiskin dan sekarang ini dikenali sebagai E-Kasih.
Senario yang berlaku sekarang, ramai juga pesara dan bakal pesara kerajaan yang ingin menikmati bantuan injin sangkut dan perahu, bantuan yang diberikan kerajaan kepada kaum Nelayan. Kononnya nak menyambung kehidupan dengan menjadi nelayan.
Persoalannya, mampukah mereka menjadi nelayan? Apakah kedudukan mereka semasa berkhidmat dengan kerajaan? Kalau pencen bulanan pun lumayan...Kalau latarbelakang bukan seorang nelayan....mengapa nak jadi nelayan. Kemudian bila kerajaan atau wakil rakyat tak bagi, mulalah memberontak....tak nak undi kerajaan lagi.....parah sekali hati nurani mereka ini.
Jangan hanya kerana mahu mendapat apa yang orang lain dapat, kita sewenangnya lupa diri. Lupa bahawa kita sebenarnya tidak layak. Lupa bahawa ada orang lain lagi yang lebih layak menerima bantuan itu.
Tahu dan sedarkah kita, dengan bersikap begini, sedar tak sedar kita sebenarnya memiskinkan diri sendiri hanya kerana tidak mahu ketinggalan atau dalam bahasa Brunei " nda mau kasiritan ". Ingatlah kepada nasib saudara-saudara kita yang kurang berkemampuan. Bertolak ansurlah sedikit. Jangan tamak dan haloba. Kita sudah mendapat ganjaran daripada kerajaan dengan diberikan kesempatan untuk menjawat jawatan.
Kalau sampai bantuan untuk orang lain pun kita nak sapu, apalah lagi yang mampu diperolehi oleh golongan susah ini. Jika nak jadi nelayan untuk menyambung kehidupan rasanya wang ganjaran perkhidmatan lebih daripada cukup untuk membeli injin sangkut dan perahu serta kelengkapan lain. Selebihnya kita akan layak juga mendapatkan subsidi kerajaan berupa subsidi petrol dan mungkin elaun sara hidup.
Jangan terlalu ikutkan perasaan dengki, irihati dan tamak yang tak berkesudahan. Cubalah menjadi insan yang BERDIKARI. Percayalah, kerajaan juga akan menyediakan bantuan kepada rakyatnya yang rajin dan tekun berusaha. InsyaAllah.
JANGAN SAMPAI KITA JADI BENAR-BENAR MISKIN HANYA KERANA SIKAP KITA YANG SUKA MEMISKINKAN DIRI UNTUK MENDAPATKAN SESUATU.
MENGAPA HARUS BEGINI?
Umum mengetahui program Juara Rakyat adalah bertujuan untuk memperingatkan para pemimpin akan kepentingan memenangi hati rakyat, terutama masyarakat di luar-luar bandar. Namun ketidakhadiran Ahli Parlimen sangat mengecewakan, seolah-olah menggambarkan bahawa beliau tidak menghormati langsung arahan pemimpin atasan.
Tidak ada pemimpin yang dikecualikan dari menyertai program ini walau pun terpaksa meninggalkan tugas rasmi kerana ia bersangkutan dengan perjuangan parti untuk menawan hati rakyat agar berupaya menjadi Juara Rakyat. Tetapi tindakan Ahli Parlimen Papar ini jelas membelakangkan kepentingan parti, bahkan lebih jelas menunjukan tidak menghormati Presiden dan Timbalan Presiden apa lagi Ketua Bahagian.
Malahan beliau sanggup dan bersedia menyertai/menganjurkan program lain bersama-sama K-Bestari/Jabatan Penerangan seminggu selepas itu dalam program Senam Sihat Sepakat Bestari. Mengapa saja program Senam Sihat ini tidak diselitkan sebagai salah satu pengisian Program Juara Rakyat. Apa masalahnya. Tidak ada masalah sekiranya Ahli Parlimen ini benar-benar ikhlas dan bersikap di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung.
Masyarakat Papar khususnya ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional, merasa kehairanan dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin ini. Sebagai ahli UMNO di Bahagian Papar, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menghormati Ketua Bahagian walau pun dia sendiri menjawat Ketua Pergerakan Puteri Malaysia. Namun hakikatnya dalam Bahagian, Ketua Bahagianlah yang jadi peneraju utama.
Keadaan seperti ini sudah acap kali berlaku. Semacam sudah tidak kelihatan koordinasi antara Pejabat Parlimen dan Pejabat UMNO Bahagian. Ada ketika pejabat UMNO seolah-olah ULUN mereka. Kadang-kadang terasa juga yang mereka ini seperti menganggap Pejabat Parlimen terlalu besar dan mungkin mereka turut beranggapan bahawa pejabat UMNO Bahagian tidak wujud.
Jangan bersikap begini. Hakikat yang perlu kita terima ialah jika tidak ada Bahagian, saya yakin tak kan wujud Parlimen. Jadi fikir-fikirkanlah. Jangan sampai keadaan ini menjadi semakin serius yang saya andaikan boleh mencetuskan jarak pemisah di antara keduanya. Jangan sampai gelagat yang kita pertontonkan menjadi ukuran umum akan keutuhan perpaduan kita di Papar ini. Bersatu tapi tak sehaluan.......ada logik kah?
Berintrospeksi dan bermuhasabah dirilah agar kita tahu kelemahan dan kesilapan kita. Berendah hatilah agar kita mampu memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan yang telah berlaku. Jangan sekali-kali kita bertuding jari, saling menyalah sesama sendiri. Marilah kembali untuk memperkuatkan saf agar kita tidak kehilangan apa yang sedang kita nikmati. Tidak ada perkara yang paling indah selain bersatu memperkuatkan parti demi kesinambungan perjuangan Agama, Bangsa dan Negara yang kita cintai.
Rabu, 27 Januari 2010
JANGAN JADI KETAM
Perpaduan…perpaduan…perpaduan…..Inilah ungkapan yang sering kita dengar. Setiap hari….setiap minggu….setiap bulan….setiap tahun….bahkan setiap kali pemimpin berganti. Perpaduan Nasional, Malaysian Malaysia dan macam-macam lagi termasuk yang terbaru 1Malaysia. Tujuannya mungkin sama saja…mengajak seluruh rakyat memperkukuhkan perpaduan.
Acap kali pula di mana-mana program atau majlis, para pemimpin akan melaungkan ungkapan yang sama. Meminta rakyat bersatu…membina ukhuwah yang mantap dan sebagainya. Tetapi di masa yang sama…kita melihat mereka yang bergelar pemimpin ini bertelagah sesama sendiri. Sikap saling mencantas terus berlaku. Terdapat pula di sesetengah kawasan, pemimpin parti di kawasan berkenaan tidak sebulu, biar pun berada dalam barisan kepimpinan yang sama. Apa lagi bila ideologi politik mereka berbeza. Apa sebabnya…hah….ini memang hanya Allah swt. dan mereka sahaja yang tahu.
Rakyat…khususnya mereka yang satu level dengan saya mungkin kebingungan atau keliru dengan apa yang berlaku. Bingung kerana rakyat disuruh bersatu sedang pemimpin saling terus mengamalkan sikap bagai ENAU DALAM BELUKAR, melepaskan pucuk masing-masing. Keliru disebabkan wujud “ double-standard ” dikalangan pemimpin. Akhirnya samalah juga dengan nasib si KETAM YANG MENYURUH ANAKNYA BERJALAN BETUL.
Bila berbicara tentang perpaduan…ia sebenarnya adalah tanggungjawab mutlak seluruh warganegara. Bukan hanya tanggungjawab orang Melayu, bahkan juga merupakan tanggungjawab semua bangsa/suku/keturunan yang ada di
Namun, sebagai pemimpin….namanya juga PEMIMPIN…mereka harus memimpin rakyat menuju ke arah perpaduan yang dilaungkan. Menjadi model terbaik kepada masyarakat untuk dicontohi. Bukan memperlihatkan sikap yang bertentangan. Berebut jawatan….berebut kuasa sehingga bercakaran sesama sendiri. Akhirnya rakyat juga yang akan rugi…..
Rumusannya….para pemimpin harus bersatu terlebih dahulu…barulah rakyat akan turut bersatu untuk membina perpaduan yang utuh. Perpaduan yang mantap sebagaimana yang dimaksudkan oleh gagasan 1Malaysia. Fikir-fikirkanlah…….wahai pemimpin.
Isnin, 25 Januari 2010
JANGAN MUDAH MENUDING JARI…..
Bila kita susah…mulalah datang gelabah. Hilang sabar…hilanglah tabah. Marah…menyumpah…macam-macamlah lafaz seranah. Apa lagi jari telunjuk….lurus menghala ke arah pemerintah yang konon menurut pandangannya…pentingkan diri dan kroni serta berat sebelah. Mungkin ada benarnya…tapi jangan nafikan….mungkin ada pula salahnya.
Di masa jari telunjuk lebih gemar kita halakan kepada orang lain….sekurang-kurangnya tiga batang jari lagi…sedar tak sedar…masih menuding diri kita sendiri.
Nah….mari kita fikirkan mengapa ia terjadi sedemikian. Memang di sebalik apa yang berlaku, sesetengah permasalahan yang melanda berkemungkinan disebabkan kelonggaran sistem pemerintahan yang berkuatkuasa. Tetapi, selebihnya adalah kerana sikap dan kelemahan kita sendiri.
Mengapa kita susah…mengapa orang lain boleh senang…tentu inilah yang menjadi pokok persoalannya. Langkah pertama….kita harus bertanya kepada diri sendiri…mengapa kita susah. Tanyakan……adakah kita sudah berusaha sekeras-kerasnya untuk mencapai hasrat kita untuk hidup senang. Apa yang telah kita lakukan untuk mengecapi kesenangan hidup…hanya dengan mengharap taburan bantuan daripada pemerintah? Adakah mengharap itu satu usaha?
Mari kita ambil contoh….ada satu kelompok masyarakat dari satu sektor yang dianggap miskin…punyalah banyak bantuan dan subsidi yang diberikan oleh pemerintah..tetapi ternyata bantuan yang dicurahkan oleh pemerintah ini juga tidak berhasil mengubah kehidupan kelompok ini…biar pun turut disediakan habuan bulanan. Adakah ini juga salah pihak lain?
Kita mampu berkahwin dan membina sebuah keluarga. Dah menjadi tanggungjawab kita untuk mengerah tenaga bagi menyara dan memenuhi keperluan keluarga. Takkanlah sampai nak makan pun minta disuapkan….Berusahalah mencari rezeki dengan segala kudrat yang telah dianugerahkan Allah swt. disamping merebut pelbagai peluang yang disediakan oleh pemerintah demi meningkatkan taraf kehidupan kita.
Jangan hanya berpeluk tubuh sambil mengharap rezeki datang sendiri. Sedangkan pendatang asing pun masih mampu meneruskan kehidupan mereka walau pun terpaksa lari
Sebenarnya….masyarakat kita…mahu tidak mahu…harus mengikis sikap MALAS yang sedang melingkari jasad mereka. Bukan setakat malas bekerja…bahkan lebih jauh daripada itu…..malas untuk berubah….yang akhirnya mengakibatkan kesenangan hidup yang diharap-harapkan hanya tinggal angan-angan.
Jumpa lagi di episod seterusnya……..
Jumaat, 22 Januari 2010
JANGAN PANDANG SEBELAH MATA
Tetapi hakikatnya tidak begitu. Ternyata masih ramai lagi warga yang hidup dalam kesusahan. Bukan nak menafikan sumbangan kerajaan tapi kadang-kadang ia tidak sampai kepada sasaran. Terlalu banyak perkara yang boleh menimbulkan tanda tanya dek kerana kepincangan pelaksanaan.
Amalan diskriminasi kian berleluasa sehingga yang layak tidak mendapat haknya. Di masa yang sama haknya diberikan kepada orang lain yang jauh lebih baik kehidupannya. Tidakkah runtuh hati jika mereka tahu apa yang terjadi. Adakah kita sanggup melihat hak orang susah diragut dan diserahkan kepada orang yang punya kehidupan lebih mewah.
Mari kita tenung foto yang saya tampalkan ini. Kita amati dan fikirkan.....betapa tubuh tua di foto itu masih punya jatidiri dan keinginan untuk berdikari....sedang di sekelilingnya....saudara sewarganegaranya mendapat apa yang dicita.
Ke mana pergi pemimpin masyarakat yang diangkat oleh Wakil Rakyat....mengapa tidak kamu usahakan agar pakcik tua ini dibantu...kenapa tidak kamu panjangkan permasalahannya ke pengetahuan Ketua kamu...Tidak kasihankah kamu kepada warga emas ini. Warga emas yang tetap cekal dan tabah untuk menyiapkan rumahnya tanpa bantuan sesiapa....Adakah dia tidak layak menerima bantuan rumah di bawah PPRT.
Jika saja kamu masih dibuai mimpi...bangunlah....bantu
Khamis, 14 Januari 2010
ADAKAH JKKK HANYA BONEKA?
Apa itu JKKK? JKKK ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung…itulah yang diketahui ramai. Memajukan kampung. Memantau keselamatan kampung. Mungkin itulah peranannya secara umum.
Bagaimana nak memajukan kampung? Bagaimana pula nak pantau keselamatan kampung? Nak majukan kampung kena buat projek itu…projek ini. Dari mana dapat projek? Kerajaan. Tetapi selalunya projek dapat pada kontraktor-kontraktor. Tak banyak JKKK yang dapat buat projek sendiri. Adakah? Entah….mungkin juga….tetapi JKKK yang mungkin berani mengetuk dan selalu buat bising…kuat komplin…baru boleh dapat.
Inilah yang selalunya membuat JKKK bengang. Mereka cipta projek untuk kampung. Lepas itu kemukakan permohonan berserta kertas kerja sekali kepada pihak-pihak berwajib. Antaranya Pejabat Daerah, Pejabat Parlimen dan Pejabat Pemimpin Kemajuan Rakyat. Hari berganti minggu. Minggu bertukar bulan dan begitulah selanjutnya kadang-kadang sempat pula bulan bertukar tahun. Sekali keluar pun amat mengejutkan pihak JKKK. Apa tidaknya, projek yang mereka cadang dan pohon sudah dibuat oleh kontraktor. Tambah menyedihkan ada sesetengah kontraktor langsung tidak menghubungi JKKK sebelum memulakan kerja-kerja mereka.
Memang kalau bukan JKKK tetapi sebaliknya kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja projek tertentu, kampung berkenaan akan tetap menikmati pembangunan. Kata orang ada juga kemajuan. Tetapi kita perlu sedar, atas dasar apa JKKK diwujudkan disetiap kampung. Adakah mereka atau badan ini hanya sekadar boneka. JKKK dilantik oleh kerajaan melalui cadangan daripada wakil-wakil rakyat. Watikah perlantikan mereka juga turut dikeluarkan dan ini membuktikan bahawa kewujudan badan ini sah serta harus mendapat perhatian.
Kepincangan yang lebih ketara dan mungkin tersangat mengecewakan beberapa badan JKKK ialah ada penjawat awam diperingkat pertengahan yang kadang-kadang bertindak membelakangkan badan ini. Walau pun hakikatnya penjawat awam ini berasal dari kampung terbabit tetapi dia tidak seharusnya mengetepikan pandangan JKKK sebelum melaksanakan apa juga perkara. Baik dari sudut kemajuan mahu pun keselamatan kerana kedua-duanya ada kaitan dengan fungsi JKKK.
Kita ingin melihat JKKK ini diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka sesuai dengan matlamat pengwujudannya. Mereka juga perlu mengisi tabung badan mereka agar apa juga program atau aktiviti dapat mereka biayai sendiri. Tentunya tidaklah menyusahkan wakil-wakil rakyat lagi.
Dalam soal-soal keselamatan, kita melihat ada sedikit kelemahan dalam perlantikan JKKK ini kerana mereka tidak dibekalkan dengan kad pengenalan diri. Perkara ini penting sebab ada setengah penduduk yang kadang-kadang tidak tahu siapa penjawat JKKK di kampung mereka. Dengan adanya kad pengenalan diri yang dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa melantik JKKK ini diyakini akan dapat membantu kelancaran JKKK melaksanakan tanggungjawab mereka terutama yang bersangkutan dengan hal-hal keselamatan termasuk masalah kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Apa pun, tindakan kerajaan dalam memberikan pengiktirafan sebenar kepada JKKK harus lebih serius. Jangan hendaknya JKKK hanya wujud seperti patung bernyawa tanpa sedikit pun peluang untuk membuktikan kemampuan mereka. Semua rakyat harus dijaga tetapi JKKK harus mendapat lebih kepercayaan ini agar badan tersebut dapat berfungsi dengan lebih efektif dan effisien. Atau jika kewujudan JKKK ini sudah dianggap tidak praktikal….lebih baik ianya dimansuhkan……habis cerita!
CAKAP BIAR SERUPA BIKIN
Keghairahan ahli-ahli pergerakan pemuda UMNO bahagian P.175 Papar setelah mendapat barisan kepimpinan baru agak tersentak sedikit apabila kebanyakan pemuda di peringkat cawangan mula mempertikai keberkesanan aktiviti atau program yang dirancang dan dilaksanakan oleh barisan kepimpinan Pemuda bahagian berkenaan.
Sememangnya banyak juga program yang telah dilaksanakan, tetapi harus difikirkan dan perlu juga ada bedah siasat terhadap apa juga program yang telah dibuat. Pada peringkat awal kelihatan semacam ada sinar perubahan yang bakal menerangi alam Pergerakan Pemuda UMNO khususnya di bahagian ini. Tetapi sudahnya, program yang dilaksanakan seakan-akan sekadar untuk memenuhi takwim aktiviti Pergerakan itu sendiri.
Sebagai contoh, program Santai Pemuda yang kononnya diadakan dengan tujuan untuk mendekati golongan muda ( ahli-ahli pemuda UMNO ) di peringkat akar umbi yakni di cawangan-cawangan, tidak sedikit pun dirasakan menepati sasaran. Bukan sekadar pengisiannya yang lemah, longgar dan kosong, bahkan tidak tergambar walau sedikit pun keinginan barisan kepimpinan Pemuda ini untuk bergaul dengan pemuda di akar umbi. Jauh sekali untuk beramah mesra kerana kepimpinan duduk dan makan sambil berbual dikalangan mereka sendiri sedang ahli pemuda akar umbi terpaksa layan melayan sesama sendiri.
Barisan kepimpinan seharusnya mengambil kesempatan melalui program seperti Santai Pemuda untuk memperlihatkan konsep baru kepimpinan dan kredibiliti mereka sebagai pemimpin. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya dan amat menghampakan pemuda di akar umbi. Mereka lebih ke arah memperlihatkan rasa keseronokan mereka sendiri tanpa memikirkan adakah misi program yang dianjurkan tercapai. Perkara ini wajib dikaji semula dengan lebih terperinci agar program Santai Pemuda dapat diperbaharui konsepnya supaya matlamat mengadakannya mampu untuk digapai.
Mengapa tidak dicari dan disusun satu pengisian yang lebih praktikal, yang difikirkan berupaya menjana keperkasaan pergerakan itu sendiri. Kepimpinan juga harus mengikis penampilan yang seakan-akan ingin menyerlahkan keelitan dan darjat mereka. Bersikap acuh tak acuh terhadap pemuda akar umbi semasa program santai pemuda juga patut dibersihkan dari jiwa dan minda kepimpinan. Program-program lain juga hendaknya turut diberikan perhatian agar tidak wujud diskriminasi dan sebagainya. Segalanya sudah cantik, mengapa kecantikan yang telah dicipta mesti dicemari dengan gelagat buruk yang mungkin boleh mengundang rasa kebencian dikalangan pemuda cawangan.
Jangan marah…ini hanya sekadar teguran kecil untuk menyedarkan kepimpinan pemuda agar perahu kalian tidak terlajak terlalu jauh sehingga sukar untuk diundurkan. Jika teguran ini berasas, bangkit dan berubahlah. Tampillah dengan transformasi demi kebaikan organisasi pemuda dan parti secara keseluruhannya. Namun sekiranya teguran ini tidak benar….mudah…..abaikan saja……..HIDUP UMNO.