Rabu, 30 Disember 2009

Apa ertinya ini semua

Isu ponteng Ahli Parlimen ketika undian bagi meluluskan bajet 2010 negara seakan sudah reda, biar pun umum menganggap ia sebagai satu kesalahan besar yang telah dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak oleh wakil-wakil yang telah dipilih oleh rakyat ini. Setakat ini tidak ada sebarang tindakan yang telah diambil ke atas mereka yang terbabit walaupun banyak pihak menyarankan agar tindakan tegas dikenakan.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) bernasib baik kerana memperolehi kelebihan 3 undi ketika itu dan sekali gus membolehkan bajet 2010 negara dapat diluluskan. Andai berlaku sebaliknya, saya tidak dapat membayangkan apakah akan terjadi selanjutnya. Terlalu banyak kemungkinan yang bakal menyusul sekiranya bajet yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Razak tidak diluluskan.

Namun segalanya sudah berlaku dan berlalu. Tumpuan harus diberikan kepada perkhidmatan untuk rakyat yang seharusnya selari dengan slogan di bawah Gagasan 1Malaysia, “ Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan ”. Tetapi apa yang jelas, masih ada Wakil Rakyat yang sukar dilihat berada di kawasan mereka. Apa lagi mereka yang berjawatan, sudah pasti kesibukan tugas dijadikan alasan untuk tidak berkesempatan turun padang mendampingi rakyat. Asyik-asyik menghantar wakil dan wakil yang dihantar pula langsung tidak ada kualiti dalam menyampaikan ucapan sehingga kadang-kadang ucapan yang disampaikan menimbulkan persoalan dari sudut keselamatan.

Memang dengan berjawatan, apa lagi di peringkat Persekutuan, sudah tentu mempunyai beban tugas yang sangat berat. Tetapi, ADUN Pantai Manis yang juga berjawatan di peringkat Persekutuan membuktikan beliau masih mampu meluangkan masa untuk berada di kawasannya dengan begitu kerap. Sempat merasmikan sambutan Maal Hijrah biarpun tidak ramai umat Islam yang hadir akibat penganjuran yang tidak cekap. Punya peluang untuk menerima kemasukan ratusan bekas ahli dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai UMNO. Sudi untuk merasmikan majlis penutupan kursus Fardhu Kifayah di Kg Sungai Padang, Papar dan berbagai aktiviti lain yang mencerminkan beliau adalah seorang wakil rakyat yang perlu dicontohi.

Inilah perbezaan yang wujud diantara wakil-wakil rakyat. Ada yang entah mungkin terlalulah sibuknya sehingga bendera UMNO di pejabatnya pun koyak rabak tidak sempat untuk diganti dengan yang baru. Oh…sibuk betul juga wakil rakyat ni. Kenapa tak hantar wakil untuk menggantikan bendera parti keramat itu. Sudahlah jarang masuk kampung, bendera pun tak boleh ganti. Mintalah peruntukkan untuk membeli bendera atau saya pun sudi menderma jika tak malu menerimanya.

Sudahlah…jangan tidur lagi. Jangan hanyut dibuai keselesaan duduk di kerusi empuk itu. Bangunlah….bangkitlah….masih ramai lagi rakyat miskin yang perlu dibantu. Bantulah…dengan ikhlas tanpa wujudnya pilih kasih. Jawatan yang disandang bukan hak milik kekal, tetapi ia sekadar tangggungjawab yang diamanahkan Allah swt. kepada YB. Pilihanraya Umum ke13 semakin hampir mendekati kita. Bersedialah….jangan SUDAH TERHANTUK BARU TERNGADAH……….










Isnin, 28 Disember 2009

Kelab Sukan Komuniti Pantai Manis ( KESUMA )











Bila sesebuah pertubuhan, tidak kiralah sama ada ia disebut sebagai pertubuhan, persatuan, kumpulan, gabungan, badan atau kelab didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, apabila permohonan untuk mendaftarkannya didapati lengkap dan teratur, satu Sijil yang disebut Perakuan Pendaftaran Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan, 1966 akan dikeluarkan oleh Jabatan berkenaan kepada pertubuhan berkenaan. Itu pun setelah pihak Jabatan berpuashati dengan ulasan-ulasan yang diberikan oleh beberapa agensi kerajaan lain yang berkaitan.

Namun amat menghairankan juga apabila kita terbaca satu artikel dalam ruangan Bahasa Melayu sebuah akhbar tempatan beberapa hari yang lalu, kononnya mendakwa beberapa orang ahli jawatankuasa lama Kelab Sukan Komuniti Pantai Manis ( KESUMA ) kecewa dengan tindakan pembubaran yang didakwa mereka sebagai tidak mengikut peraturan.


Mereka beranggapan pembubaran seharusnya melalui proses yang termaktub di dalam perlembagaan dan peraturan tertentu. Saya ingin mengajukan pertanyaan kepada mereka, peraturan mana yang harus diikut. Perlembagaan mana yang mesti dirujuk. Adakah KESUMA mempunyai perlembagaan yang terdaftar dan diperakui oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk dikuatkuasakan.

Ada diantara mereka yang tampil dengan kenyataan yang memetik fasal 27.1 kelab yang kononnya KESUMA hanya boleh dibubarkan dalam Mesyuarat Agung Khas dengan persetujuan 2/3 (dua pertiga ahli) kelab. Malang sungguh orang-orang ini kerana terpaksa menampakkan kebodohan dan kedangkalan mereka sendiri. Apa tidaknya, cuba siasat dan selidiki, siapakah sebenarnya yang boleh dianggap sebagai seorang ahli berdaftar yang sah KESUMA. Rasanya usahkan Setiausaha atau Bendahari atau mana-mana ahli jawatankuasanya, bahkan Pengerusinya sendiri pun tidak pernah mengisi borang keahlian KESUMA. Jika perkara ini benar, maka siapakah yang sepatutnya hadir di dalam mana-mana Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Khas atau luarbiasa KESUMA.

Saya mula tersenyum dan akhirnya ketawa bila ada pula dakwaan lucu mereka yang kononnya ahli jawatankuasa baru tidak boleh menggunakan dana yang sedia ada kerana dana itu merupakan milik ahli jawatankuasa lama. Seandainya pun KESUMA berdaftar di bawah Akta Pertubuhan, 1966, ahli jawatankuasa lama tidak berhak untuk mengeluarkan kenyataan yang sekadar menjelaskan niat buruk mereka. Tidak pernah ada di mana-mana perlembagaan bagi sesebuah pertubuhan, yang menyatakan mana-mana dana yang ada di dalam simpanan pertubuhan tidak boleh digunakan oleh ahli jawatankuasa yang baru dilantik. Ini memang betul-betul bodoh! KESUMA bukan koperasi, KESUMA hanya badan sukarela. Saya ulangi SUKARELA.

Ahli jawatankuasa lama mendakwa kononnya mereka telah melaksanakan pelbagai aktiviti dengan cemerlang semasa mereka menjawat jawatan dalam KESUMA. Maka itu, saya ingin bertanya beberapa soalan lewat blog ini:

1. Dari segi mana kecemerlangan yang dilaungkan jika KESUMA masa itu hanya mengadakan pertandingan Futsal di padang pekan Papar berbanding dengan Kelab sejenis dan seperjuangannya di kawasan Kawang, menganjurkannya di gelanggang Futsal. Bukankah kos menganjur di gelanggang Futsal lebih tinggi berbanding di atas padang biasa?

2. Mengapa majlis penutupan acara sukan komuniti anjuran ahli jawatankuasa lama KESUMA diadakan secara sederhana dan separuh tertutup berbanding dengan kelab sejenis dan seperjuangannya di kawasan Kawang, yang mengadakannya secara meriah dan terbuka kerana ia turut disertai oleh keluarga mereka yang terbabit. Bukankah kos menganjur majlis yang sederhana lebih murah dan jimat kos berbanding penganjuran yang besar-besaran?

3. Mengapa semasa ahli jawatankuasa lama mentadbir KESUMA, tidak pernah ada walau sekali pun Mesyuarat Agung Tahunan? Saya beranggapan Mesyuarat Agung Tahunan tidak pernah diadakan kerana Penyata Kewangan KESUMA tidak pernah dibentangkan di dalam mesyuarat.

4. Jika benar KESUMA adalah sebuah badan yang terdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan, di manakah PERAKUAN PENDAFTARAN PERTUBUHAN disimpan? Sila tunjuk dan buktikan.

5. Jika benar KESUMA mempunyai ahli yang sah yang membolehkan ia bermesyuarat, tak kiralah mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat agung khas atau luarbiasa, mana senarai ahli dan borang-borang yang telah diisi. Berapa dan mana yuran mereka. Buktikan.

Menuduh biar punya bukti yang kukuh. Berhujah mesti dikuatkan dengan fakta yang sahih, benar dan ampuh. Jangan hanya sekadar ikut sedap mulut dan melayan perasaan semata-mata. Hayati dan amalkanlah cogankata SMK Majakir yang cukup halus dan mendalam maknanya iaitu KEBIJAKSANAAN NILAI KEMANUSIAAN. Jangan sekali-kali kita menyalahgunakan fungsi dan peranan akal yang telah dianugerahkan Allah swt. kepada umat manusia.

Rumusannya, tindakan kelompok ahli jawatankuasa lama yang tidak berpuashati dengan pembubaran Jawatankuasa KESUMA ini, lebih menampakkan nafsu, serakah dan kemaruk mereka terhadap kuasa, biarpun hanya sekadar kuasa di dalam sebuah badan kecil bernama KESUMA. Pelbagai kemungkinan pula turut timbul menjadi penjana nafsu, serakah dan kemaruk kuasa mereka ini. Fikir-fikir dan pertimbangkanlah sendiri, jangan sampai tindakan bodoh ini hanya sekadar MEMBUKA PEKUNG DI DADA mereka sendiri.

Indah Khabar Dari Rupa

Daerah Papar semakin membangun. Banyak kemajuan yang dapat kita lihat sejak kebelakangan ini. Dengan pengantian bangunan lama yang telah dirobohkan, diganti dengan bangunan yang baru... inilah dinamakan kemajuan. Sebagai penduduk jati Papar yang dibesarkan di daerah yang dulunya kecil, setiap perubahan ini dapat aku lihat dan ikuti satu demi satu. Apatah lagi bagi beliau-beliau yang lebih berumur dan kian dimamah usia, pastinya bersetuju dan mengakui akan hakikat ini.

Namun di sebalik kemajuan dan kehebatan Daerah Papar yang semakin berkembang, apakah jadahnya ini. Hakikat yang sebenar itu cuma sandiwara. Ya sandiwara belaka. Lihat lah, cuba anda nilai dan amati.., apakah bendanya ini.

Budak kecil pun pastinya tahu.. ini parit @ longkang. Senang cerita, parit ini dirakamkan depan pejabat Parlimen Papar. Ertinya kedai baru la tu. Mana bos-bos di Majlis atau Pejabat Daerah Papar tu. Bagaimana boleh terlepas pandang benda kecil macam ni. Oh.. mungkin tiada income kali.


Cukuplah dulu untuk post yang pertama. Ini cuma percubaan. Kalau dalam filem Pendekar Bujang Lapok... dia cakap... coooobaaannnnn. Tapi aku mau bagitau ini bukan cobaaannn.. ini betul-betul. Tunggu saja post yang bakal menyusul. Jangan marah.. sekadar mengingati...