Ahad, 25 April 2010

JANGAN MEMISKINKAN DIRI - NANTI ALLAH RESTUI

Apalah dah jadi dengan masyarakat kita hari ini. Terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan. Tak apalah jika memang layak menerima bantuan disebabkan kekurangan kemampuan hatta hidup susah. Tetapi anehnya terdapat ramai juga orang yang merasakan dirinya layak waima sekali pun mereka sebenarnya tidak layak. Alasannya mereka juga pengundi.

Memang benar semua warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun dan telah mendaftar kepada SPR diangap layak mengundi. Namun bukan itu kriteria yang melayakan seseorang menerima bantuan khususnya di bawah program rakyat termiskin dan sekarang ini dikenali sebagai E-Kasih.

Senario yang berlaku sekarang, ramai juga pesara dan bakal pesara kerajaan yang ingin menikmati bantuan injin sangkut dan perahu, bantuan yang diberikan kerajaan kepada kaum Nelayan. Kononnya nak menyambung kehidupan dengan menjadi nelayan.

Persoalannya, mampukah mereka menjadi nelayan? Apakah kedudukan mereka semasa berkhidmat dengan kerajaan? Kalau pencen bulanan pun lumayan...Kalau latarbelakang bukan seorang nelayan....mengapa nak jadi nelayan. Kemudian bila kerajaan atau wakil rakyat tak bagi, mulalah memberontak....tak nak undi kerajaan lagi.....parah sekali hati nurani mereka ini.

Jangan hanya kerana mahu mendapat apa yang orang lain dapat, kita sewenangnya lupa diri. Lupa bahawa kita sebenarnya tidak layak. Lupa bahawa ada orang lain lagi yang lebih layak menerima bantuan itu.

Tahu dan sedarkah kita, dengan bersikap begini, sedar tak sedar kita sebenarnya memiskinkan diri sendiri hanya kerana tidak mahu ketinggalan atau dalam bahasa Brunei " nda mau kasiritan ". Ingatlah kepada nasib saudara-saudara kita yang kurang berkemampuan. Bertolak ansurlah sedikit. Jangan tamak dan haloba. Kita sudah mendapat ganjaran daripada kerajaan dengan diberikan kesempatan untuk menjawat jawatan.

Kalau sampai bantuan untuk orang lain pun kita nak sapu, apalah lagi yang mampu diperolehi oleh golongan susah ini. Jika nak jadi nelayan untuk menyambung kehidupan rasanya wang ganjaran perkhidmatan lebih daripada cukup untuk membeli injin sangkut dan perahu serta kelengkapan lain. Selebihnya kita akan layak juga mendapatkan subsidi kerajaan berupa subsidi petrol dan mungkin elaun sara hidup.

Jangan terlalu ikutkan perasaan dengki, irihati dan tamak yang tak berkesudahan. Cubalah menjadi insan yang BERDIKARI. Percayalah, kerajaan juga akan menyediakan bantuan kepada rakyatnya yang rajin dan tekun berusaha. InsyaAllah.

JANGAN SAMPAI KITA JADI BENAR-BENAR MISKIN HANYA KERANA SIKAP KITA YANG SUKA MEMISKINKAN DIRI UNTUK MENDAPATKAN SESUATU.

MENGAPA HARUS BEGINI?

Program Juara Rakyat peringkat Parlimen P175 Papar yang telah berlangsung pada 3 dan 4 April 2010 yang lalu menimbulkan tanda tanya. Program sebesar itu biar pun boleh dianggap berjaya tetapi masih menampilkan sedikit kelemahan dari sudut penglibatan beberapa pihak khususnya Ahli Parlimennya.

Umum mengetahui program Juara Rakyat adalah bertujuan untuk memperingatkan para pemimpin akan kepentingan memenangi hati rakyat, terutama masyarakat di luar-luar bandar. Namun ketidakhadiran Ahli Parlimen sangat mengecewakan, seolah-olah menggambarkan bahawa beliau tidak menghormati langsung arahan pemimpin atasan.

Tidak ada pemimpin yang dikecualikan dari menyertai program ini walau pun terpaksa meninggalkan tugas rasmi kerana ia bersangkutan dengan perjuangan parti untuk menawan hati rakyat agar berupaya menjadi Juara Rakyat. Tetapi tindakan Ahli Parlimen Papar ini jelas membelakangkan kepentingan parti, bahkan lebih jelas menunjukan tidak menghormati Presiden dan Timbalan Presiden apa lagi Ketua Bahagian.

Malahan beliau sanggup dan bersedia menyertai/menganjurkan program lain bersama-sama K-Bestari/Jabatan Penerangan seminggu selepas itu dalam program Senam Sihat Sepakat Bestari. Mengapa saja program Senam Sihat ini tidak diselitkan sebagai salah satu pengisian Program Juara Rakyat. Apa masalahnya. Tidak ada masalah sekiranya Ahli Parlimen ini benar-benar ikhlas dan bersikap di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung.

Masyarakat Papar khususnya ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional, merasa kehairanan dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin ini. Sebagai ahli UMNO di Bahagian Papar, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menghormati Ketua Bahagian walau pun dia sendiri menjawat Ketua Pergerakan Puteri Malaysia. Namun hakikatnya dalam Bahagian, Ketua Bahagianlah yang jadi peneraju utama.

Keadaan seperti ini sudah acap kali berlaku. Semacam sudah tidak kelihatan koordinasi antara Pejabat Parlimen dan Pejabat UMNO Bahagian. Ada ketika pejabat UMNO seolah-olah ULUN mereka. Kadang-kadang terasa juga yang mereka ini seperti menganggap Pejabat Parlimen terlalu besar dan mungkin mereka turut beranggapan bahawa pejabat UMNO Bahagian tidak wujud.

Jangan bersikap begini. Hakikat yang perlu kita terima ialah jika tidak ada Bahagian, saya yakin tak kan wujud Parlimen. Jadi fikir-fikirkanlah. Jangan sampai keadaan ini menjadi semakin serius yang saya andaikan boleh mencetuskan jarak pemisah di antara keduanya. Jangan sampai gelagat yang kita pertontonkan menjadi ukuran umum akan keutuhan perpaduan kita di Papar ini. Bersatu tapi tak sehaluan.......ada logik kah?

Berintrospeksi dan bermuhasabah dirilah agar kita tahu kelemahan dan kesilapan kita. Berendah hatilah agar kita mampu memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan yang telah berlaku. Jangan sekali-kali kita bertuding jari, saling menyalah sesama sendiri. Marilah kembali untuk memperkuatkan saf agar kita tidak kehilangan apa yang sedang kita nikmati. Tidak ada perkara yang paling indah selain bersatu memperkuatkan parti demi kesinambungan perjuangan Agama, Bangsa dan Negara yang kita cintai.