Sabtu, 18 September 2010

HENTIKAN AKTIVITI PUMPBOAT.....


Penggunaan PUMPBOAT yang kononnya telah diharamkan kerana ia tidak boleh dilesenkan masih digunakan dengan bebas di Papar. Penggunanya rata-rata pendatang Filipina yang mencari nafkah dengan menjadi nelayan yang dikhabarkan ada diantara mereka yang melakukan pengeboman terhadap kawasan-kawasan pembiakan ikan termasuk unjam-unjam dan tukun yang dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan.

Masyarakat tempatan khususnya golongan nelayan sudah banyak kali menyuarakan masalah ini kepada pihak-pihak tertentu bahkan turut ditimbulkan di laman sosial FACEBOOK tetapi masalah atau aktiviti ini masih dilakukan. Hasil tinjauan penulis, didapati pemilik-pemilik pumpboat ini kebanyakannya menetap di Kg Buang Sayang dan Kg Sungai Padang selain di Kinarut.

Penulis juga pernah mengajukan masalah ini kepada Jabatan Perikanan dan maklumbalas yang diterima, pihak Jabatan Perikanan tidak mempunyai kuasa terhadap penggunaan pumpboat ini. Menurut mereka, pumpboat adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Laut dan sebagaimana yang dimaklumkan, pumpboat tidak boleh dilesenkan yang secara otomatik penggunaannya adalah haram.

Persoalannya, pihak manakah yang boleh mengambil tindakan terhadap perlanggaran undang-undang ini di Papar kerana tidak ada cawangan Jabatan Laut di daerah ini. Menurut beberapa pandangan daripada beberapa pegawai kerajaan yang ditemui, mereka berpendapat bahawa Pegawai Daerah boleh membawa perkara ini ke mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk membincang dan memutuskan tindakan yang patut diambil.

Penulis berpendapat sekiranya perkara ini tidak diambil perhatian dan seterusnya tindakan, ia berkemungkinan akan semakin bertambah bahkan dikhuatiri pemilik pumpboat ini juga tidak memiliki dokumen sah. Maka itu, diharap pihak-pihak terlibat tidak terus tidur atau berpeluk tubuh dalam menangani permasalahan ini. Bangkitlah dan bantulah golongan nelayan tempatan dari ancaman yang dihasilkan oleh pemilik-pemilik pumpboat yang selalu memusnahkan tempat pembiakan ikan dan kalau boleh menghapuskan pumpboat-pumpboat ini.

Kepada jabatan atau agensi yang terlibat, antaranya Polis, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Pejabat Daerah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan lain-lain, bawalah permasalahan ini ke mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah kerana tentunya ada diantara jabatan dan agensi ini yang terlibat secara langsung di dalam Jawatankuasa tersebut. Rakyat HARUS didahulukan, Pencapaian diutamakan.

Khamis, 16 September 2010

AMALKAN HUBUNGAN DUA HALA......BOLEH MEMBERI DAN MENERIMA

Kewujudan Media Baru Elektronik seperti Blog, Twitter, Facebook dan sebagainya dengan sendirinya menjadi medan bebas kepada masyarakat untuk menyuarakan pelbagai nada pandangan, komen, pujian, teguran dan kritikan terhadap mana-mana pihak termasuk kerajaan. Inilah hakikat yang seharusnya diterima oleh semua pihak apabila kecanggihan sistem komunikasi semakin hebat.

Diantara laman yang paling mudah dan sangat ramai pengikutnya adalah FACEBOOK. Melalui Facebook ini, terjalinlah rangkaian persahabatan yang ada diantara individu yang memiliki sehingga ribuan sahabat Facebook. Melalui dinding Facebook, pemilik boleh menyiarkan segala komen dan pandangannya sama ada ia berbentuk teguran/kritikan atau puji-pujian sebebas-bebasnya tanpa sekatan.

Facebook ini mempunyai jutaan pengikut, jadi sudah tentu sebarang artikel yang disiarkan di dindingnya akan dibaca oleh jutaan manusia. Namun pemilik dinding facebook ini juga memiliki hak dan cara masing-masing dalam meluahkan pendapat/pandangan/komen mereka. Hakikatnya, apa pun bentuk pandangan/komen mereka harus diterima seadanya kerana sudah menjadi lumrah alam, persepsi manusia pasti berbeza-beza. Cuma sebelum menyiarkan sebarang artikel ada baiknya pertimbangkan dahulu isi kandungannya, agar kalau boleh, ia lebih bersifat membina daripada membawa celaka.

Justeru untuk melihat kewujudan Facebook ini lebih bermanfaat, pengguna sebaiknya mengamalkan sikap keterbukaan, boleh memberi dan menerima komen/pandangan serta mempertimbangkannya dengan waras dan penuh kebijaksanaan. Jangan sesekali beranggapan bahawa setiap komen/teguran atau kritikan yang dilontarkan bertujuan untuk memalukan atau mengaibkan atau menjatuhkan kedudukan sesiapa. Apa lagi bila ia bersangkutan dengan politik, salah satu bidang yang sangat terdedah kepada teguran/kritikan.

Bertindaklah secara professional, memperlihatkan kebijaksanaan dan berfikiran terbuka yang mampu memberi serta menerima pandangan/teguran/kritikan. Biasanya, teguran dan kritikanlah membuatkan manusia menjadi lebih baik dan berjaya kerana berpeluang untuk memperbaiki diri dan pencapaiannya. Ingatlah....orang mengkritik tidak bererti menentang. Orang memuji tidak bermakna menyokong. Orang yang menegur tidak bermaksud membenci dan berbeza pendapat bukan semestinya dianggap berkelahi tetapi sekadar mencari titik persamaan yang ikhlas dan murni.

Selasa, 14 September 2010

PAPAR PEKAN ANJING?


Saya pernah menimbulkan masalah anjing liar yang semakin banyak berkeliaran di Pekan Papar lewat dinding Facebook saya suatu ketika dahulu. Tetapi tidak mendapat perhatian daripada pihak2 yang berkenaan terutama Majlis Daerah Papar (MDP).

Papar yang dahulunya bersih daripada binatang liar kini sudah mula menampakkan perubahan negatif dengan kehadiran begitu banyak anjing liar terutama di kawasan rumah kedai baru berdekatan Padang Pekan Papar. Tidak mengira masa, pagi, petang, siang dan malam. Saya amat hairan mengapa masalah ini tidak diambil perhatian sedangkan ia jelas mencemar kebersihan dan boleh mengancam keselamatan orang awam.

Di mana Pegawai Daerah, di mana MDP dan pihak2 berkuasa lainnya termasuk pemimpin. Apakah mereka tidak melihat keadaan ini? Jika inginkan Papar membangun sebagai sebuah daerah yang memiliki Pekan yang bersih dan cantik, janganlah tidur atau berpeluk tubuh. Laksanakanlah tanggungjawab yang di amanahkan. Ambillah tindakan untuk menghapuskan anjing2 liar ini daripada terus bebas berlegar-legar di kawasan Pekan. Ia amat menjijikkan.

Sampai bilakah masalah ini boleh ditangani? Takkanlah asyik beralasankan tidak ada peluru makanya tindakan tidak dapat diambil kerana saya yakin, sekiranya wujud kerjasama dari semua agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan, masih banyak lagi cara lain yang boleh dipraktikkan untuk menghapuskan anjing2 liar ini. Duduklah semeja.Bincang dan carilah keputusan yang terbaik. Saya yakin, anda semua boleh!!

Isnin, 13 September 2010

RUMAH TERBUKA BIAR SESUAI TEMPATNYA

Selamat berjumpa lagi setelah sekian lama merehatkan diri disebabkan kesibukan yang tidak dapat dielakkan. Di kesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua umat Islam khususnya mereka yang sempat melayari blog ini.

Di pertemuan kita kali ini, saya ingin sekali membawa pemikiran anda kepada satu perkara yang berlaku dalam suasana Hari Raya tahun ini. Rumah Terbuka YB Datuk Ghulam Haidar Khan, ADUN kawasan N21 Kawang yang diadakan bersama YB Datuk Rosnah, AP P175 Papar di Dewan Masyarakat Papar pada 12 September 2010. Jangan anggap ini sebagai bantahan tetapi anggap sahaja sebagai teguran untuk pembetulan atau penambahbaikan.

Rumah Terbuka Hari Raya yang diadakan oleh wakil2 rakyat, sememangnya bertujuan untuk memberikan peluang kepada masyarakat khususnya rakyat yang diwakili. Jika Ahli Parlimen yang mengadakan rumah terbukanya di dewan masyarakat yang terletak di kawasan DUN Pantai Manis, ia tidak menimbulkan masalah kerana Parlimen Papar merangkumi kawasan DUN Kawang dan Pantai Manis.

Tetapi persoalannya di sini, apakah rasionalnya Wakil Rakyat Kawang, YB Datuk Ghulam Haidar Khan turut mengadakan rumah terbuka hari rayanya secara bersama di dewan yang sama. Saya ulangi sekali lagi, dewan masyarakat terletak di dalam kawasan DUN Pantai Manis bukan di kawasan DUN Kawang.

Bukankah tindakan untuk mengadakan rumah terbuka di lokasi di luar dari kawasan yang di wakili akan menimbulkan kesulitan kepada rakyat yang di wakili untuk datang berziarah atau berhari raya. Saya merasakan, adalah lebih baik dan menyenangkan jika YB Datuk Ghulam mengadakan rumah terbukanya di dalam kawasan diwakilinya agar lebih ramai rakyat dapat hadir bersama kerana mereka tidak terpaksa berjalan jauh apa tah lagi ia mungkin dapat menarik lebih ramai orang2 kampung untuk hadir berhari raya.

Maka itu, siapa pun yang berada disekeliling pemimpin seharusnya memberikan pandangan dan cadangan yang baik. Cadangan yang berupaya untuk memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan mampu memberi keuntungan politik kepada pemimpin. Wallahu'alam.

Ahad, 2 Mei 2010

ASAM GARAM BERFACEBOOK

Bila kita sudah mengambil keputusan untuk menulis nota atau memasukan gambar di dinding Facebook kita, apa lagi bila kita ‘tag’ rerakan kita pada nota atau gambar tersebut, maka kita secara automatik telah terdedah dengan pelbagai komen dan pandangan daripada rerakan kita atau rakan pada rakan kita.

Komen yang datang tentunya akan lahir dari pandangan yang berbeza-beza. Dah memang kata orang “ RAMBUT SAMA HITAM, HATI LAIN-LAIN ”. Apa lagi di zaman sekarang ini, warna rambut pun sudah beraneka…..selain hitam yang kemudiannya secara lumrah bila tiba masanya akan menjadi putih kini ada pula warna maroon, hijau, perang dan macam2 lagi.

Nah…sebenarnya kita harus bersedia dengan setiap komen atau pandangan. Pro atau kontra, itu lain cerita. Kalau kita rasa komen atau pandangan yang diberikan rakan adalah baik, bersyukurlah..! TAPI kita tidak seharusnya menganggap komen atau pandangan yang tidak menyebelahi kita sebagai negatif dan tidak baik. Ada komen yang mungkin kita anggap negatif ni boleh membantu meningkatkan kematangan kita. Kalau komen tu benar2 tak boleh kita terima…bukan masalah untuk tidak menghiraukannya. Ignore ja tak payah PADAM kerana mungkin ia dapat memberi manfaat kepada rakan2 lain yang terbaca.

Kalau kita hanya mengharapkan komen2 yang positif, tak payahlah pos nota atau gambar pada dinding kerana ia masih boleh dibaca oleh pengguna FB khususnya rerakan kita. Lebih baik nota atau gambar diposkan melalui sms FB untuk rerakan tertentu sahaja. Melalui sms hanya rakan yang dipilih sahaja yang dapat melihat dan membaca gambar atau nota kita….Selamat….tak terdedah dengan komen2 negatif.

KALAU TAKUT DILAMBUNG OMBAK, JANGAN BERUMAH DI TEPI PANTAI….KALAU TAKUT DENGAN RISIKO, JANGAN BICARA TENTANG PERJUANGAN…KALAU TAKUT DIKOMEN, JANGAN POS NOTA/GAMBAR DI DINDING FB……..KITA TERDEDAH DENGAN PELBAGAI KEMUNGKINAN. FIKIR-FIKIRKAN….JANGAN SUDAH TERHANTUK BARU TERNGADAH.

Sabtu, 1 Mei 2010

Benarkah Sabah Termiskin?

Kita hanya tahu Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia. Tentunya tidak salah jika umum merasa kaget mendengar perkara ini. Apa tidaknya, dengan hasil mahsul yang banyak, tidak munasabah negeri ini tergolong dalam kategori termiskin.Apa sebenarnya yang terjadi. Nak kata kerajaan tidak berusaha untuk membasmi perkara ini, tidak patut juga, kerana sejak dahulu kerajaan terus berusaha ke arah itu dengan menyediakan pelbagai kaedah dan skim bagi membantu rakyat miskin. Tetapi berapa banyak pun skim dan kemudahan yang disediakan keadaannya tetap tidak berubah.

Sebenarnya saya kebingungan, bagaimana bisa terjadi negeri ini negeri termiskin. Apakan daya, statistik sudah membuktikan ia begitu. Cuma saya masih belum mengetahui dari mana dan bagaimana statistik ini disediakan. Agensi atau jabatan manakah yang dipertanggungjawabkan untuk membuat kajiselidik. Apakah kaedah kajiselidik yang dijalankan dan sejauh mana ketelusannya. Ini yang menjadi persoalan.

Sebagai contoh, sekiranya perangkaan kadar kemiskinan diambil daripada senarai pemohon bantuan di bawah skim PPRT, maka statistik kadar kemiskinan yang menunjukan Sabah sebagai negeri termiskin tidak tepat. Saya katakan tidak tepat kerana:

1. saya yakin kebanyakan senarai masih mengandungi nama-nama pemohon yang sudah meninggal dunia.

2. ada pemohon yang disenaraikan dan didapati tidak layak tetapi tidak pula dikeluarkan daripada senarai.

3. ada juga pemohon yang tidak layak tetapi telah didaftar sebagai penerima bantuan.

Nah.....jika benar statistik yang dikeluarkan berpandukan senarai PPRT, tidak mustahil Sabah tergolong dalam kategori negeri termiskin kerana di Papar sahaja, senarai ini hampir mencapai 6ribu termasuklah pemohon yang tidak layak tetapi menerima bantuan dan yang tidak dikeluarkan nama mereka daripada senarai. Sudahnya bilangan nama pemohon akan terus bertambah dari tahun ke tahun yang mengakibatkan bilangan orang miskin tidak pernah berkurangan.

Selain contoh kecil ini, masih banyak lagi faktor yang dipercayai turut menyumbang ke arah timbulnya masalah ini. Tetapi cukuplah buat masa ini. Saya tampilkan sekadar untuk dikongsi dan difikirkan bersama akan rasionalnya. Mnasabah atau tidak terserahlah kepada anda menilainya. Wallahualam.

Ahad, 25 April 2010

JANGAN MEMISKINKAN DIRI - NANTI ALLAH RESTUI

Apalah dah jadi dengan masyarakat kita hari ini. Terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan. Tak apalah jika memang layak menerima bantuan disebabkan kekurangan kemampuan hatta hidup susah. Tetapi anehnya terdapat ramai juga orang yang merasakan dirinya layak waima sekali pun mereka sebenarnya tidak layak. Alasannya mereka juga pengundi.

Memang benar semua warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun dan telah mendaftar kepada SPR diangap layak mengundi. Namun bukan itu kriteria yang melayakan seseorang menerima bantuan khususnya di bawah program rakyat termiskin dan sekarang ini dikenali sebagai E-Kasih.

Senario yang berlaku sekarang, ramai juga pesara dan bakal pesara kerajaan yang ingin menikmati bantuan injin sangkut dan perahu, bantuan yang diberikan kerajaan kepada kaum Nelayan. Kononnya nak menyambung kehidupan dengan menjadi nelayan.

Persoalannya, mampukah mereka menjadi nelayan? Apakah kedudukan mereka semasa berkhidmat dengan kerajaan? Kalau pencen bulanan pun lumayan...Kalau latarbelakang bukan seorang nelayan....mengapa nak jadi nelayan. Kemudian bila kerajaan atau wakil rakyat tak bagi, mulalah memberontak....tak nak undi kerajaan lagi.....parah sekali hati nurani mereka ini.

Jangan hanya kerana mahu mendapat apa yang orang lain dapat, kita sewenangnya lupa diri. Lupa bahawa kita sebenarnya tidak layak. Lupa bahawa ada orang lain lagi yang lebih layak menerima bantuan itu.

Tahu dan sedarkah kita, dengan bersikap begini, sedar tak sedar kita sebenarnya memiskinkan diri sendiri hanya kerana tidak mahu ketinggalan atau dalam bahasa Brunei " nda mau kasiritan ". Ingatlah kepada nasib saudara-saudara kita yang kurang berkemampuan. Bertolak ansurlah sedikit. Jangan tamak dan haloba. Kita sudah mendapat ganjaran daripada kerajaan dengan diberikan kesempatan untuk menjawat jawatan.

Kalau sampai bantuan untuk orang lain pun kita nak sapu, apalah lagi yang mampu diperolehi oleh golongan susah ini. Jika nak jadi nelayan untuk menyambung kehidupan rasanya wang ganjaran perkhidmatan lebih daripada cukup untuk membeli injin sangkut dan perahu serta kelengkapan lain. Selebihnya kita akan layak juga mendapatkan subsidi kerajaan berupa subsidi petrol dan mungkin elaun sara hidup.

Jangan terlalu ikutkan perasaan dengki, irihati dan tamak yang tak berkesudahan. Cubalah menjadi insan yang BERDIKARI. Percayalah, kerajaan juga akan menyediakan bantuan kepada rakyatnya yang rajin dan tekun berusaha. InsyaAllah.

JANGAN SAMPAI KITA JADI BENAR-BENAR MISKIN HANYA KERANA SIKAP KITA YANG SUKA MEMISKINKAN DIRI UNTUK MENDAPATKAN SESUATU.

MENGAPA HARUS BEGINI?

Program Juara Rakyat peringkat Parlimen P175 Papar yang telah berlangsung pada 3 dan 4 April 2010 yang lalu menimbulkan tanda tanya. Program sebesar itu biar pun boleh dianggap berjaya tetapi masih menampilkan sedikit kelemahan dari sudut penglibatan beberapa pihak khususnya Ahli Parlimennya.

Umum mengetahui program Juara Rakyat adalah bertujuan untuk memperingatkan para pemimpin akan kepentingan memenangi hati rakyat, terutama masyarakat di luar-luar bandar. Namun ketidakhadiran Ahli Parlimen sangat mengecewakan, seolah-olah menggambarkan bahawa beliau tidak menghormati langsung arahan pemimpin atasan.

Tidak ada pemimpin yang dikecualikan dari menyertai program ini walau pun terpaksa meninggalkan tugas rasmi kerana ia bersangkutan dengan perjuangan parti untuk menawan hati rakyat agar berupaya menjadi Juara Rakyat. Tetapi tindakan Ahli Parlimen Papar ini jelas membelakangkan kepentingan parti, bahkan lebih jelas menunjukan tidak menghormati Presiden dan Timbalan Presiden apa lagi Ketua Bahagian.

Malahan beliau sanggup dan bersedia menyertai/menganjurkan program lain bersama-sama K-Bestari/Jabatan Penerangan seminggu selepas itu dalam program Senam Sihat Sepakat Bestari. Mengapa saja program Senam Sihat ini tidak diselitkan sebagai salah satu pengisian Program Juara Rakyat. Apa masalahnya. Tidak ada masalah sekiranya Ahli Parlimen ini benar-benar ikhlas dan bersikap di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung.

Masyarakat Papar khususnya ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional, merasa kehairanan dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin ini. Sebagai ahli UMNO di Bahagian Papar, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menghormati Ketua Bahagian walau pun dia sendiri menjawat Ketua Pergerakan Puteri Malaysia. Namun hakikatnya dalam Bahagian, Ketua Bahagianlah yang jadi peneraju utama.

Keadaan seperti ini sudah acap kali berlaku. Semacam sudah tidak kelihatan koordinasi antara Pejabat Parlimen dan Pejabat UMNO Bahagian. Ada ketika pejabat UMNO seolah-olah ULUN mereka. Kadang-kadang terasa juga yang mereka ini seperti menganggap Pejabat Parlimen terlalu besar dan mungkin mereka turut beranggapan bahawa pejabat UMNO Bahagian tidak wujud.

Jangan bersikap begini. Hakikat yang perlu kita terima ialah jika tidak ada Bahagian, saya yakin tak kan wujud Parlimen. Jadi fikir-fikirkanlah. Jangan sampai keadaan ini menjadi semakin serius yang saya andaikan boleh mencetuskan jarak pemisah di antara keduanya. Jangan sampai gelagat yang kita pertontonkan menjadi ukuran umum akan keutuhan perpaduan kita di Papar ini. Bersatu tapi tak sehaluan.......ada logik kah?

Berintrospeksi dan bermuhasabah dirilah agar kita tahu kelemahan dan kesilapan kita. Berendah hatilah agar kita mampu memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan yang telah berlaku. Jangan sekali-kali kita bertuding jari, saling menyalah sesama sendiri. Marilah kembali untuk memperkuatkan saf agar kita tidak kehilangan apa yang sedang kita nikmati. Tidak ada perkara yang paling indah selain bersatu memperkuatkan parti demi kesinambungan perjuangan Agama, Bangsa dan Negara yang kita cintai.

Rabu, 27 Januari 2010

JANGAN JADI KETAM

Perpaduan…perpaduan…perpaduan…..Inilah ungkapan yang sering kita dengar. Setiap hari….setiap minggu….setiap bulan….setiap tahun….bahkan setiap kali pemimpin berganti. Perpaduan Nasional, Malaysian Malaysia dan macam-macam lagi termasuk yang terbaru 1Malaysia. Tujuannya mungkin sama saja…mengajak seluruh rakyat memperkukuhkan perpaduan.

Acap kali pula di mana-mana program atau majlis, para pemimpin akan melaungkan ungkapan yang sama. Meminta rakyat bersatu…membina ukhuwah yang mantap dan sebagainya. Tetapi di masa yang sama…kita melihat mereka yang bergelar pemimpin ini bertelagah sesama sendiri. Sikap saling mencantas terus berlaku. Terdapat pula di sesetengah kawasan, pemimpin parti di kawasan berkenaan tidak sebulu, biar pun berada dalam barisan kepimpinan yang sama. Apa lagi bila ideologi politik mereka berbeza. Apa sebabnya…hah….ini memang hanya Allah swt. dan mereka sahaja yang tahu.


Rakyat…khususnya mereka yang satu level dengan saya mungkin kebingungan atau keliru dengan apa yang berlaku. Bingung kerana rakyat disuruh bersatu sedang pemimpin saling terus mengamalkan sikap bagai ENAU DALAM BELUKAR, melepaskan pucuk masing-masing. Keliru disebabkan wujud “ double-standard ” dikalangan pemimpin. Akhirnya samalah juga dengan nasib si KETAM YANG MENYURUH ANAKNYA BERJALAN BETUL.


Bila berbicara tentang perpaduan…ia sebenarnya adalah tanggungjawab mutlak seluruh warganegara. Bukan hanya tanggungjawab orang Melayu, bahkan juga merupakan tanggungjawab semua bangsa/suku/keturunan yang ada di Malaysia. Tidak kira mereka pemimpin atau rakyat biasa. Kaya atau miskin papa kedana. Punya darjat atau hidup melarat. Islam atau bukan Islam. Perpaduan adalah tanggungjawab bersama.


Namun, sebagai pemimpin….namanya juga PEMIMPIN…mereka harus memimpin rakyat menuju ke arah perpaduan yang dilaungkan. Menjadi model terbaik kepada masyarakat untuk dicontohi. Bukan memperlihatkan sikap yang bertentangan. Berebut jawatan….berebut kuasa sehingga bercakaran sesama sendiri. Akhirnya rakyat juga yang akan rugi…..


Rumusannya….para pemimpin harus bersatu terlebih dahulu…barulah rakyat akan turut bersatu untuk membina perpaduan yang utuh. Perpaduan yang mantap sebagaimana yang dimaksudkan oleh gagasan 1Malaysia. Fikir-fikirkanlah…….wahai pemimpin.

Isnin, 25 Januari 2010

JANGAN MUDAH MENUDING JARI…..

Bila kita susah…mulalah datang gelabah. Hilang sabar…hilanglah tabah. Marah…menyumpah…macam-macamlah lafaz seranah. Apa lagi jari telunjuk….lurus menghala ke arah pemerintah yang konon menurut pandangannya…pentingkan diri dan kroni serta berat sebelah. Mungkin ada benarnya…tapi jangan nafikan….mungkin ada pula salahnya.

Di masa jari telunjuk lebih gemar kita halakan kepada orang lain….sekurang-kurangnya tiga batang jari lagi…sedar tak sedar…masih menuding diri kita sendiri. Cuba kita sama-sama melakukan demonstrasi sendiri….. diam-diam….cuba halakan telunjuk kita ke arah orang lain…kemudian kita perhatikan…di bawah telunjuk yang menuding orang lain itu…sebenarnya ada tiga batang jari lagi secara sembunyi-sembunyi menuding ke arah kita sendiri. Betul tak?

Nah….mari kita fikirkan mengapa ia terjadi sedemikian. Memang di sebalik apa yang berlaku, sesetengah permasalahan yang melanda berkemungkinan disebabkan kelonggaran sistem pemerintahan yang berkuatkuasa. Tetapi, selebihnya adalah kerana sikap dan kelemahan kita sendiri.

Mengapa kita susah…mengapa orang lain boleh senang…tentu inilah yang menjadi pokok persoalannya. Langkah pertama….kita harus bertanya kepada diri sendiri…mengapa kita susah. Tanyakan……adakah kita sudah berusaha sekeras-kerasnya untuk mencapai hasrat kita untuk hidup senang. Apa yang telah kita lakukan untuk mengecapi kesenangan hidup…hanya dengan mengharap taburan bantuan daripada pemerintah? Adakah mengharap itu satu usaha?

Mari kita ambil contoh….ada satu kelompok masyarakat dari satu sektor yang dianggap miskin…punyalah banyak bantuan dan subsidi yang diberikan oleh pemerintah..tetapi ternyata bantuan yang dicurahkan oleh pemerintah ini juga tidak berhasil mengubah kehidupan kelompok ini…biar pun turut disediakan habuan bulanan. Adakah ini juga salah pihak lain?

Kita mampu berkahwin dan membina sebuah keluarga. Dah menjadi tanggungjawab kita untuk mengerah tenaga bagi menyara dan memenuhi keperluan keluarga. Takkanlah sampai nak makan pun minta disuapkan….Berusahalah mencari rezeki dengan segala kudrat yang telah dianugerahkan Allah swt. disamping merebut pelbagai peluang yang disediakan oleh pemerintah demi meningkatkan taraf kehidupan kita.

Jangan hanya berpeluk tubuh sambil mengharap rezeki datang sendiri. Sedangkan pendatang asing pun masih mampu meneruskan kehidupan mereka walau pun terpaksa lari sana sini. Hakikatnya mereka rajin bekerja….ada jadi tukang…susun batu bata…pasang jubin….kacau simen….segelintirnya jadi nelayan guna Pumpboat. Janji mereka boleh mendapat hasil untuk menyambung kehidupan pelarian mereka. Jangan pula kita ambil sikap buruk sesetengah mereka…itu langkah tidak betul.

Sebenarnya….masyarakat kita…mahu tidak mahu…harus mengikis sikap MALAS yang sedang melingkari jasad mereka. Bukan setakat malas bekerja…bahkan lebih jauh daripada itu…..malas untuk berubah….yang akhirnya mengakibatkan kesenangan hidup yang diharap-harapkan hanya tinggal angan-angan.

Jumpa lagi di episod seterusnya……..

Jumaat, 22 Januari 2010

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA

Aku ingin sekali melihat masyarakatku terus terbela. Apa lagi jika mereka memang kurang berkemampuan @ miskin. Alangkah senangnya hati, kalau saja tidak ada lagi orang yang susah di bumi yang kononnya bertuah ini.

Tetapi hakikatnya tidak begitu. Ternyata masih ramai lagi warga yang hidup dalam kesusahan. Bukan nak menafikan sumbangan kerajaan tapi kadang-kadang ia tidak sampai kepada sasaran. Terlalu banyak perkara yang boleh menimbulkan tanda tanya dek kerana kepincangan pelaksanaan.

Amalan diskriminasi kian berleluasa sehingga yang layak tidak mendapat haknya. Di masa yang sama haknya diberikan kepada orang lain yang jauh lebih baik kehidupannya. Tidakkah runtuh hati jika mereka tahu apa yang terjadi. Adakah kita sanggup melihat hak orang susah diragut dan diserahkan kepada orang yang punya kehidupan lebih mewah.

Mari kita tenung foto yang saya tampalkan ini. Kita amati dan fikirkan.....betapa tubuh tua di foto itu masih punya jatidiri dan keinginan untuk berdikari....sedang di sekelilingnya....saudara sewarganegaranya mendapat apa yang dicita.

Ke mana pergi pemimpin masyarakat yang diangkat oleh Wakil Rakyat....mengapa tidak kamu usahakan agar pakcik tua ini dibantu...kenapa tidak kamu panjangkan permasalahannya ke pengetahuan Ketua kamu...Tidak kasihankah kamu kepada warga emas ini. Warga emas yang tetap cekal dan tabah untuk menyiapkan rumahnya tanpa bantuan sesiapa....Adakah dia tidak layak menerima bantuan rumah di bawah PPRT.


Jika saja kamu masih dibuai mimpi...bangunlah....bantulah mereka yang memerlukan. Jangan abaikan tanggungjawab....jangan hanya melihat kesusahan orang lain tanpa ada usaha untuk membantunya. Jawatan hanyalah amanah yang dipertanggungjawabkan dan harus dipikul sebaik-baiknya dengan niat yang ikhlas.

Khamis, 14 Januari 2010

ADAKAH JKKK HANYA BONEKA?

Apa itu JKKK? JKKK ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung…itulah yang diketahui ramai. Memajukan kampung. Memantau keselamatan kampung. Mungkin itulah peranannya secara umum.

Bagaimana nak memajukan kampung? Bagaimana pula nak pantau keselamatan kampung? Nak majukan kampung kena buat projek itu…projek ini. Dari mana dapat projek? Kerajaan. Tetapi selalunya projek dapat pada kontraktor-kontraktor. Tak banyak JKKK yang dapat buat projek sendiri. Adakah? Entah….mungkin juga….tetapi JKKK yang mungkin berani mengetuk dan selalu buat bising…kuat komplin…baru boleh dapat.

Inilah yang selalunya membuat JKKK bengang. Mereka cipta projek untuk kampung. Lepas itu kemukakan permohonan berserta kertas kerja sekali kepada pihak-pihak berwajib. Antaranya Pejabat Daerah, Pejabat Parlimen dan Pejabat Pemimpin Kemajuan Rakyat. Hari berganti minggu. Minggu bertukar bulan dan begitulah selanjutnya kadang-kadang sempat pula bulan bertukar tahun. Sekali keluar pun amat mengejutkan pihak JKKK. Apa tidaknya, projek yang mereka cadang dan pohon sudah dibuat oleh kontraktor. Tambah menyedihkan ada sesetengah kontraktor langsung tidak menghubungi JKKK sebelum memulakan kerja-kerja mereka.

Memang kalau bukan JKKK tetapi sebaliknya kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja projek tertentu, kampung berkenaan akan tetap menikmati pembangunan. Kata orang ada juga kemajuan. Tetapi kita perlu sedar, atas dasar apa JKKK diwujudkan disetiap kampung. Adakah mereka atau badan ini hanya sekadar boneka. JKKK dilantik oleh kerajaan melalui cadangan daripada wakil-wakil rakyat. Watikah perlantikan mereka juga turut dikeluarkan dan ini membuktikan bahawa kewujudan badan ini sah serta harus mendapat perhatian.

Kepincangan yang lebih ketara dan mungkin tersangat mengecewakan beberapa badan JKKK ialah ada penjawat awam diperingkat pertengahan yang kadang-kadang bertindak membelakangkan badan ini. Walau pun hakikatnya penjawat awam ini berasal dari kampung terbabit tetapi dia tidak seharusnya mengetepikan pandangan JKKK sebelum melaksanakan apa juga perkara. Baik dari sudut kemajuan mahu pun keselamatan kerana kedua-duanya ada kaitan dengan fungsi JKKK.

Kita ingin melihat JKKK ini diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka sesuai dengan matlamat pengwujudannya. Mereka juga perlu mengisi tabung badan mereka agar apa juga program atau aktiviti dapat mereka biayai sendiri. Tentunya tidaklah menyusahkan wakil-wakil rakyat lagi.

Dalam soal-soal keselamatan, kita melihat ada sedikit kelemahan dalam perlantikan JKKK ini kerana mereka tidak dibekalkan dengan kad pengenalan diri. Perkara ini penting sebab ada setengah penduduk yang kadang-kadang tidak tahu siapa penjawat JKKK di kampung mereka. Dengan adanya kad pengenalan diri yang dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa melantik JKKK ini diyakini akan dapat membantu kelancaran JKKK melaksanakan tanggungjawab mereka terutama yang bersangkutan dengan hal-hal keselamatan termasuk masalah kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Apa pun, tindakan kerajaan dalam memberikan pengiktirafan sebenar kepada JKKK harus lebih serius. Jangan hendaknya JKKK hanya wujud seperti patung bernyawa tanpa sedikit pun peluang untuk membuktikan kemampuan mereka. Semua rakyat harus dijaga tetapi JKKK harus mendapat lebih kepercayaan ini agar badan tersebut dapat berfungsi dengan lebih efektif dan effisien. Atau jika kewujudan JKKK ini sudah dianggap tidak praktikal….lebih baik ianya dimansuhkan……habis cerita!

CAKAP BIAR SERUPA BIKIN

Keghairahan ahli-ahli pergerakan pemuda UMNO bahagian P.175 Papar setelah mendapat barisan kepimpinan baru agak tersentak sedikit apabila kebanyakan pemuda di peringkat cawangan mula mempertikai keberkesanan aktiviti atau program yang dirancang dan dilaksanakan oleh barisan kepimpinan Pemuda bahagian berkenaan.

Sememangnya banyak juga program yang telah dilaksanakan, tetapi harus difikirkan dan perlu juga ada bedah siasat terhadap apa juga program yang telah dibuat. Pada peringkat awal kelihatan semacam ada sinar perubahan yang bakal menerangi alam Pergerakan Pemuda UMNO khususnya di bahagian ini. Tetapi sudahnya, program yang dilaksanakan seakan-akan sekadar untuk memenuhi takwim aktiviti Pergerakan itu sendiri.

Sebagai contoh, program Santai Pemuda yang kononnya diadakan dengan tujuan untuk mendekati golongan muda ( ahli-ahli pemuda UMNO ) di peringkat akar umbi yakni di cawangan-cawangan, tidak sedikit pun dirasakan menepati sasaran. Bukan sekadar pengisiannya yang lemah, longgar dan kosong, bahkan tidak tergambar walau sedikit pun keinginan barisan kepimpinan Pemuda ini untuk bergaul dengan pemuda di akar umbi. Jauh sekali untuk beramah mesra kerana kepimpinan duduk dan makan sambil berbual dikalangan mereka sendiri sedang ahli pemuda akar umbi terpaksa layan melayan sesama sendiri.

Barisan kepimpinan seharusnya mengambil kesempatan melalui program seperti Santai Pemuda untuk memperlihatkan konsep baru kepimpinan dan kredibiliti mereka sebagai pemimpin. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya dan amat menghampakan pemuda di akar umbi. Mereka lebih ke arah memperlihatkan rasa keseronokan mereka sendiri tanpa memikirkan adakah misi program yang dianjurkan tercapai. Perkara ini wajib dikaji semula dengan lebih terperinci agar program Santai Pemuda dapat diperbaharui konsepnya supaya matlamat mengadakannya mampu untuk digapai.

Mengapa tidak dicari dan disusun satu pengisian yang lebih praktikal, yang difikirkan berupaya menjana keperkasaan pergerakan itu sendiri. Kepimpinan juga harus mengikis penampilan yang seakan-akan ingin menyerlahkan keelitan dan darjat mereka. Bersikap acuh tak acuh terhadap pemuda akar umbi semasa program santai pemuda juga patut dibersihkan dari jiwa dan minda kepimpinan. Program-program lain juga hendaknya turut diberikan perhatian agar tidak wujud diskriminasi dan sebagainya. Segalanya sudah cantik, mengapa kecantikan yang telah dicipta mesti dicemari dengan gelagat buruk yang mungkin boleh mengundang rasa kebencian dikalangan pemuda cawangan.

Jangan marah…ini hanya sekadar teguran kecil untuk menyedarkan kepimpinan pemuda agar perahu kalian tidak terlajak terlalu jauh sehingga sukar untuk diundurkan. Jika teguran ini berasas, bangkit dan berubahlah. Tampillah dengan transformasi demi kebaikan organisasi pemuda dan parti secara keseluruhannya. Namun sekiranya teguran ini tidak benar….mudah…..abaikan saja……..HIDUP UMNO.