Ahad, 25 April 2010

MENGAPA HARUS BEGINI?

Program Juara Rakyat peringkat Parlimen P175 Papar yang telah berlangsung pada 3 dan 4 April 2010 yang lalu menimbulkan tanda tanya. Program sebesar itu biar pun boleh dianggap berjaya tetapi masih menampilkan sedikit kelemahan dari sudut penglibatan beberapa pihak khususnya Ahli Parlimennya.

Umum mengetahui program Juara Rakyat adalah bertujuan untuk memperingatkan para pemimpin akan kepentingan memenangi hati rakyat, terutama masyarakat di luar-luar bandar. Namun ketidakhadiran Ahli Parlimen sangat mengecewakan, seolah-olah menggambarkan bahawa beliau tidak menghormati langsung arahan pemimpin atasan.

Tidak ada pemimpin yang dikecualikan dari menyertai program ini walau pun terpaksa meninggalkan tugas rasmi kerana ia bersangkutan dengan perjuangan parti untuk menawan hati rakyat agar berupaya menjadi Juara Rakyat. Tetapi tindakan Ahli Parlimen Papar ini jelas membelakangkan kepentingan parti, bahkan lebih jelas menunjukan tidak menghormati Presiden dan Timbalan Presiden apa lagi Ketua Bahagian.

Malahan beliau sanggup dan bersedia menyertai/menganjurkan program lain bersama-sama K-Bestari/Jabatan Penerangan seminggu selepas itu dalam program Senam Sihat Sepakat Bestari. Mengapa saja program Senam Sihat ini tidak diselitkan sebagai salah satu pengisian Program Juara Rakyat. Apa masalahnya. Tidak ada masalah sekiranya Ahli Parlimen ini benar-benar ikhlas dan bersikap di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung.

Masyarakat Papar khususnya ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional, merasa kehairanan dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin ini. Sebagai ahli UMNO di Bahagian Papar, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menghormati Ketua Bahagian walau pun dia sendiri menjawat Ketua Pergerakan Puteri Malaysia. Namun hakikatnya dalam Bahagian, Ketua Bahagianlah yang jadi peneraju utama.

Keadaan seperti ini sudah acap kali berlaku. Semacam sudah tidak kelihatan koordinasi antara Pejabat Parlimen dan Pejabat UMNO Bahagian. Ada ketika pejabat UMNO seolah-olah ULUN mereka. Kadang-kadang terasa juga yang mereka ini seperti menganggap Pejabat Parlimen terlalu besar dan mungkin mereka turut beranggapan bahawa pejabat UMNO Bahagian tidak wujud.

Jangan bersikap begini. Hakikat yang perlu kita terima ialah jika tidak ada Bahagian, saya yakin tak kan wujud Parlimen. Jadi fikir-fikirkanlah. Jangan sampai keadaan ini menjadi semakin serius yang saya andaikan boleh mencetuskan jarak pemisah di antara keduanya. Jangan sampai gelagat yang kita pertontonkan menjadi ukuran umum akan keutuhan perpaduan kita di Papar ini. Bersatu tapi tak sehaluan.......ada logik kah?

Berintrospeksi dan bermuhasabah dirilah agar kita tahu kelemahan dan kesilapan kita. Berendah hatilah agar kita mampu memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan yang telah berlaku. Jangan sekali-kali kita bertuding jari, saling menyalah sesama sendiri. Marilah kembali untuk memperkuatkan saf agar kita tidak kehilangan apa yang sedang kita nikmati. Tidak ada perkara yang paling indah selain bersatu memperkuatkan parti demi kesinambungan perjuangan Agama, Bangsa dan Negara yang kita cintai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan