Khamis, 14 Januari 2010

ADAKAH JKKK HANYA BONEKA?

Apa itu JKKK? JKKK ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung…itulah yang diketahui ramai. Memajukan kampung. Memantau keselamatan kampung. Mungkin itulah peranannya secara umum.

Bagaimana nak memajukan kampung? Bagaimana pula nak pantau keselamatan kampung? Nak majukan kampung kena buat projek itu…projek ini. Dari mana dapat projek? Kerajaan. Tetapi selalunya projek dapat pada kontraktor-kontraktor. Tak banyak JKKK yang dapat buat projek sendiri. Adakah? Entah….mungkin juga….tetapi JKKK yang mungkin berani mengetuk dan selalu buat bising…kuat komplin…baru boleh dapat.

Inilah yang selalunya membuat JKKK bengang. Mereka cipta projek untuk kampung. Lepas itu kemukakan permohonan berserta kertas kerja sekali kepada pihak-pihak berwajib. Antaranya Pejabat Daerah, Pejabat Parlimen dan Pejabat Pemimpin Kemajuan Rakyat. Hari berganti minggu. Minggu bertukar bulan dan begitulah selanjutnya kadang-kadang sempat pula bulan bertukar tahun. Sekali keluar pun amat mengejutkan pihak JKKK. Apa tidaknya, projek yang mereka cadang dan pohon sudah dibuat oleh kontraktor. Tambah menyedihkan ada sesetengah kontraktor langsung tidak menghubungi JKKK sebelum memulakan kerja-kerja mereka.

Memang kalau bukan JKKK tetapi sebaliknya kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja projek tertentu, kampung berkenaan akan tetap menikmati pembangunan. Kata orang ada juga kemajuan. Tetapi kita perlu sedar, atas dasar apa JKKK diwujudkan disetiap kampung. Adakah mereka atau badan ini hanya sekadar boneka. JKKK dilantik oleh kerajaan melalui cadangan daripada wakil-wakil rakyat. Watikah perlantikan mereka juga turut dikeluarkan dan ini membuktikan bahawa kewujudan badan ini sah serta harus mendapat perhatian.

Kepincangan yang lebih ketara dan mungkin tersangat mengecewakan beberapa badan JKKK ialah ada penjawat awam diperingkat pertengahan yang kadang-kadang bertindak membelakangkan badan ini. Walau pun hakikatnya penjawat awam ini berasal dari kampung terbabit tetapi dia tidak seharusnya mengetepikan pandangan JKKK sebelum melaksanakan apa juga perkara. Baik dari sudut kemajuan mahu pun keselamatan kerana kedua-duanya ada kaitan dengan fungsi JKKK.

Kita ingin melihat JKKK ini diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka sesuai dengan matlamat pengwujudannya. Mereka juga perlu mengisi tabung badan mereka agar apa juga program atau aktiviti dapat mereka biayai sendiri. Tentunya tidaklah menyusahkan wakil-wakil rakyat lagi.

Dalam soal-soal keselamatan, kita melihat ada sedikit kelemahan dalam perlantikan JKKK ini kerana mereka tidak dibekalkan dengan kad pengenalan diri. Perkara ini penting sebab ada setengah penduduk yang kadang-kadang tidak tahu siapa penjawat JKKK di kampung mereka. Dengan adanya kad pengenalan diri yang dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa melantik JKKK ini diyakini akan dapat membantu kelancaran JKKK melaksanakan tanggungjawab mereka terutama yang bersangkutan dengan hal-hal keselamatan termasuk masalah kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Apa pun, tindakan kerajaan dalam memberikan pengiktirafan sebenar kepada JKKK harus lebih serius. Jangan hendaknya JKKK hanya wujud seperti patung bernyawa tanpa sedikit pun peluang untuk membuktikan kemampuan mereka. Semua rakyat harus dijaga tetapi JKKK harus mendapat lebih kepercayaan ini agar badan tersebut dapat berfungsi dengan lebih efektif dan effisien. Atau jika kewujudan JKKK ini sudah dianggap tidak praktikal….lebih baik ianya dimansuhkan……habis cerita!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan