Khamis, 14 Januari 2010

CAKAP BIAR SERUPA BIKIN

Keghairahan ahli-ahli pergerakan pemuda UMNO bahagian P.175 Papar setelah mendapat barisan kepimpinan baru agak tersentak sedikit apabila kebanyakan pemuda di peringkat cawangan mula mempertikai keberkesanan aktiviti atau program yang dirancang dan dilaksanakan oleh barisan kepimpinan Pemuda bahagian berkenaan.

Sememangnya banyak juga program yang telah dilaksanakan, tetapi harus difikirkan dan perlu juga ada bedah siasat terhadap apa juga program yang telah dibuat. Pada peringkat awal kelihatan semacam ada sinar perubahan yang bakal menerangi alam Pergerakan Pemuda UMNO khususnya di bahagian ini. Tetapi sudahnya, program yang dilaksanakan seakan-akan sekadar untuk memenuhi takwim aktiviti Pergerakan itu sendiri.

Sebagai contoh, program Santai Pemuda yang kononnya diadakan dengan tujuan untuk mendekati golongan muda ( ahli-ahli pemuda UMNO ) di peringkat akar umbi yakni di cawangan-cawangan, tidak sedikit pun dirasakan menepati sasaran. Bukan sekadar pengisiannya yang lemah, longgar dan kosong, bahkan tidak tergambar walau sedikit pun keinginan barisan kepimpinan Pemuda ini untuk bergaul dengan pemuda di akar umbi. Jauh sekali untuk beramah mesra kerana kepimpinan duduk dan makan sambil berbual dikalangan mereka sendiri sedang ahli pemuda akar umbi terpaksa layan melayan sesama sendiri.

Barisan kepimpinan seharusnya mengambil kesempatan melalui program seperti Santai Pemuda untuk memperlihatkan konsep baru kepimpinan dan kredibiliti mereka sebagai pemimpin. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya dan amat menghampakan pemuda di akar umbi. Mereka lebih ke arah memperlihatkan rasa keseronokan mereka sendiri tanpa memikirkan adakah misi program yang dianjurkan tercapai. Perkara ini wajib dikaji semula dengan lebih terperinci agar program Santai Pemuda dapat diperbaharui konsepnya supaya matlamat mengadakannya mampu untuk digapai.

Mengapa tidak dicari dan disusun satu pengisian yang lebih praktikal, yang difikirkan berupaya menjana keperkasaan pergerakan itu sendiri. Kepimpinan juga harus mengikis penampilan yang seakan-akan ingin menyerlahkan keelitan dan darjat mereka. Bersikap acuh tak acuh terhadap pemuda akar umbi semasa program santai pemuda juga patut dibersihkan dari jiwa dan minda kepimpinan. Program-program lain juga hendaknya turut diberikan perhatian agar tidak wujud diskriminasi dan sebagainya. Segalanya sudah cantik, mengapa kecantikan yang telah dicipta mesti dicemari dengan gelagat buruk yang mungkin boleh mengundang rasa kebencian dikalangan pemuda cawangan.

Jangan marah…ini hanya sekadar teguran kecil untuk menyedarkan kepimpinan pemuda agar perahu kalian tidak terlajak terlalu jauh sehingga sukar untuk diundurkan. Jika teguran ini berasas, bangkit dan berubahlah. Tampillah dengan transformasi demi kebaikan organisasi pemuda dan parti secara keseluruhannya. Namun sekiranya teguran ini tidak benar….mudah…..abaikan saja……..HIDUP UMNO.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan