Sabtu, 18 September 2010

HENTIKAN AKTIVITI PUMPBOAT.....


Penggunaan PUMPBOAT yang kononnya telah diharamkan kerana ia tidak boleh dilesenkan masih digunakan dengan bebas di Papar. Penggunanya rata-rata pendatang Filipina yang mencari nafkah dengan menjadi nelayan yang dikhabarkan ada diantara mereka yang melakukan pengeboman terhadap kawasan-kawasan pembiakan ikan termasuk unjam-unjam dan tukun yang dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan.

Masyarakat tempatan khususnya golongan nelayan sudah banyak kali menyuarakan masalah ini kepada pihak-pihak tertentu bahkan turut ditimbulkan di laman sosial FACEBOOK tetapi masalah atau aktiviti ini masih dilakukan. Hasil tinjauan penulis, didapati pemilik-pemilik pumpboat ini kebanyakannya menetap di Kg Buang Sayang dan Kg Sungai Padang selain di Kinarut.

Penulis juga pernah mengajukan masalah ini kepada Jabatan Perikanan dan maklumbalas yang diterima, pihak Jabatan Perikanan tidak mempunyai kuasa terhadap penggunaan pumpboat ini. Menurut mereka, pumpboat adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Laut dan sebagaimana yang dimaklumkan, pumpboat tidak boleh dilesenkan yang secara otomatik penggunaannya adalah haram.

Persoalannya, pihak manakah yang boleh mengambil tindakan terhadap perlanggaran undang-undang ini di Papar kerana tidak ada cawangan Jabatan Laut di daerah ini. Menurut beberapa pandangan daripada beberapa pegawai kerajaan yang ditemui, mereka berpendapat bahawa Pegawai Daerah boleh membawa perkara ini ke mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk membincang dan memutuskan tindakan yang patut diambil.

Penulis berpendapat sekiranya perkara ini tidak diambil perhatian dan seterusnya tindakan, ia berkemungkinan akan semakin bertambah bahkan dikhuatiri pemilik pumpboat ini juga tidak memiliki dokumen sah. Maka itu, diharap pihak-pihak terlibat tidak terus tidur atau berpeluk tubuh dalam menangani permasalahan ini. Bangkitlah dan bantulah golongan nelayan tempatan dari ancaman yang dihasilkan oleh pemilik-pemilik pumpboat yang selalu memusnahkan tempat pembiakan ikan dan kalau boleh menghapuskan pumpboat-pumpboat ini.

Kepada jabatan atau agensi yang terlibat, antaranya Polis, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Pejabat Daerah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan lain-lain, bawalah permasalahan ini ke mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah kerana tentunya ada diantara jabatan dan agensi ini yang terlibat secara langsung di dalam Jawatankuasa tersebut. Rakyat HARUS didahulukan, Pencapaian diutamakan.

1 ulasan:

  1. i will make the research safety and performance pump boat in sabah.. i need the information about this boat type. where can i get the information about this boat..thanks..please email me on are_naf@yahoo.com

    BalasPadam