Sabtu, 18 September 2010
HENTIKAN AKTIVITI PUMPBOAT.....
Penggunaan PUMPBOAT yang kononnya telah diharamkan kerana ia tidak boleh dilesenkan masih digunakan dengan bebas di Papar. Penggunanya rata-rata pendatang Filipina yang mencari nafkah dengan menjadi nelayan yang dikhabarkan ada diantara mereka yang melakukan pengeboman terhadap kawasan-kawasan pembiakan ikan termasuk unjam-unjam dan tukun yang dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan.
Masyarakat tempatan khususnya golongan nelayan sudah banyak kali menyuarakan masalah ini kepada pihak-pihak tertentu bahkan turut ditimbulkan di laman sosial FACEBOOK tetapi masalah atau aktiviti ini masih dilakukan. Hasil tinjauan penulis, didapati pemilik-pemilik pumpboat ini kebanyakannya menetap di Kg Buang Sayang dan Kg Sungai Padang selain di Kinarut.
Penulis juga pernah mengajukan masalah ini kepada Jabatan Perikanan dan maklumbalas yang diterima, pihak Jabatan Perikanan tidak mempunyai kuasa terhadap penggunaan pumpboat ini. Menurut mereka, pumpboat adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Laut dan sebagaimana yang dimaklumkan, pumpboat tidak boleh dilesenkan yang secara otomatik penggunaannya adalah haram.
Persoalannya, pihak manakah yang boleh mengambil tindakan terhadap perlanggaran undang-undang ini di Papar kerana tidak ada cawangan Jabatan Laut di daerah ini. Menurut beberapa pandangan daripada beberapa pegawai kerajaan yang ditemui, mereka berpendapat bahawa Pegawai Daerah boleh membawa perkara ini ke mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk membincang dan memutuskan tindakan yang patut diambil.
Penulis berpendapat sekiranya perkara ini tidak diambil perhatian dan seterusnya tindakan, ia berkemungkinan akan semakin bertambah bahkan dikhuatiri pemilik pumpboat ini juga tidak memiliki dokumen sah. Maka itu, diharap pihak-pihak terlibat tidak terus tidur atau berpeluk tubuh dalam menangani permasalahan ini. Bangkitlah dan bantulah golongan nelayan tempatan dari ancaman yang dihasilkan oleh pemilik-pemilik pumpboat yang selalu memusnahkan tempat pembiakan ikan dan kalau boleh menghapuskan pumpboat-pumpboat ini.
Kepada jabatan atau agensi yang terlibat, antaranya Polis, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Pejabat Daerah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan lain-lain, bawalah permasalahan ini ke mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah kerana tentunya ada diantara jabatan dan agensi ini yang terlibat secara langsung di dalam Jawatankuasa tersebut. Rakyat HARUS didahulukan, Pencapaian diutamakan.
Khamis, 16 September 2010
AMALKAN HUBUNGAN DUA HALA......BOLEH MEMBERI DAN MENERIMA
Diantara laman yang paling mudah dan sangat ramai pengikutnya adalah FACEBOOK. Melalui Facebook ini, terjalinlah rangkaian persahabatan yang ada diantara individu yang memiliki sehingga ribuan sahabat Facebook. Melalui dinding Facebook, pemilik boleh menyiarkan segala komen dan pandangannya sama ada ia berbentuk teguran/kritikan atau puji-pujian sebebas-bebasnya tanpa sekatan.
Facebook ini mempunyai jutaan pengikut, jadi sudah tentu sebarang artikel yang disiarkan di dindingnya akan dibaca oleh jutaan manusia. Namun pemilik dinding facebook ini juga memiliki hak dan cara masing-masing dalam meluahkan pendapat/pandangan/komen mereka. Hakikatnya, apa pun bentuk pandangan/komen mereka harus diterima seadanya kerana sudah menjadi lumrah alam, persepsi manusia pasti berbeza-beza. Cuma sebelum menyiarkan sebarang artikel ada baiknya pertimbangkan dahulu isi kandungannya, agar kalau boleh, ia lebih bersifat membina daripada membawa celaka.
Justeru untuk melihat kewujudan Facebook ini lebih bermanfaat, pengguna sebaiknya mengamalkan sikap keterbukaan, boleh memberi dan menerima komen/pandangan serta mempertimbangkannya dengan waras dan penuh kebijaksanaan. Jangan sesekali beranggapan bahawa setiap komen/teguran atau kritikan yang dilontarkan bertujuan untuk memalukan atau mengaibkan atau menjatuhkan kedudukan sesiapa. Apa lagi bila ia bersangkutan dengan politik, salah satu bidang yang sangat terdedah kepada teguran/kritikan.
Bertindaklah secara professional, memperlihatkan kebijaksanaan dan berfikiran terbuka yang mampu memberi serta menerima pandangan/teguran/kritikan. Biasanya, teguran dan kritikanlah membuatkan manusia menjadi lebih baik dan berjaya kerana berpeluang untuk memperbaiki diri dan pencapaiannya. Ingatlah....orang mengkritik tidak bererti menentang. Orang memuji tidak bermakna menyokong. Orang yang menegur tidak bermaksud membenci dan berbeza pendapat bukan semestinya dianggap berkelahi tetapi sekadar mencari titik persamaan yang ikhlas dan murni.
Selasa, 14 September 2010
PAPAR PEKAN ANJING?
Saya pernah menimbulkan masalah anjing liar yang semakin banyak berkeliaran di Pekan Papar lewat dinding Facebook saya suatu ketika dahulu. Tetapi tidak mendapat perhatian daripada pihak2 yang berkenaan terutama Majlis Daerah Papar (MDP).
Papar yang dahulunya bersih daripada binatang liar kini sudah mula menampakkan perubahan negatif dengan kehadiran begitu banyak anjing liar terutama di kawasan rumah kedai baru berdekatan Padang Pekan Papar. Tidak mengira masa, pagi, petang, siang dan malam. Saya amat hairan mengapa masalah ini tidak diambil perhatian sedangkan ia jelas mencemar kebersihan dan boleh mengancam keselamatan orang awam.
Di mana Pegawai Daerah, di mana MDP dan pihak2 berkuasa lainnya termasuk pemimpin. Apakah mereka tidak melihat keadaan ini? Jika inginkan Papar membangun sebagai sebuah daerah yang memiliki Pekan yang bersih dan cantik, janganlah tidur atau berpeluk tubuh. Laksanakanlah tanggungjawab yang di amanahkan. Ambillah tindakan untuk menghapuskan anjing2 liar ini daripada terus bebas berlegar-legar di kawasan Pekan. Ia amat menjijikkan.
Sampai bilakah masalah ini boleh ditangani? Takkanlah asyik beralasankan tidak ada peluru makanya tindakan tidak dapat diambil kerana saya yakin, sekiranya wujud kerjasama dari semua agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan, masih banyak lagi cara lain yang boleh dipraktikkan untuk menghapuskan anjing2 liar ini. Duduklah semeja.Bincang dan carilah keputusan yang terbaik. Saya yakin, anda semua boleh!!
Isnin, 13 September 2010
RUMAH TERBUKA BIAR SESUAI TEMPATNYA
Di pertemuan kita kali ini, saya ingin sekali membawa pemikiran anda kepada satu perkara yang berlaku dalam suasana Hari Raya tahun ini. Rumah Terbuka YB Datuk Ghulam Haidar Khan, ADUN kawasan N21 Kawang yang diadakan bersama YB Datuk Rosnah, AP P175 Papar di Dewan Masyarakat Papar pada 12 September 2010. Jangan anggap ini sebagai bantahan tetapi anggap sahaja sebagai teguran untuk pembetulan atau penambahbaikan.
Rumah Terbuka Hari Raya yang diadakan oleh wakil2 rakyat, sememangnya bertujuan untuk memberikan peluang kepada masyarakat khususnya rakyat yang diwakili. Jika Ahli Parlimen yang mengadakan rumah terbukanya di dewan masyarakat yang terletak di kawasan DUN Pantai Manis, ia tidak menimbulkan masalah kerana Parlimen Papar merangkumi kawasan DUN Kawang dan Pantai Manis.
Tetapi persoalannya di sini, apakah rasionalnya Wakil Rakyat Kawang, YB Datuk Ghulam Haidar Khan turut mengadakan rumah terbuka hari rayanya secara bersama di dewan yang sama. Saya ulangi sekali lagi, dewan masyarakat terletak di dalam kawasan DUN Pantai Manis bukan di kawasan DUN Kawang.
Bukankah tindakan untuk mengadakan rumah terbuka di lokasi di luar dari kawasan yang di wakili akan menimbulkan kesulitan kepada rakyat yang di wakili untuk datang berziarah atau berhari raya. Saya merasakan, adalah lebih baik dan menyenangkan jika YB Datuk Ghulam mengadakan rumah terbukanya di dalam kawasan diwakilinya agar lebih ramai rakyat dapat hadir bersama kerana mereka tidak terpaksa berjalan jauh apa tah lagi ia mungkin dapat menarik lebih ramai orang2 kampung untuk hadir berhari raya.
Maka itu, siapa pun yang berada disekeliling pemimpin seharusnya memberikan pandangan dan cadangan yang baik. Cadangan yang berupaya untuk memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan mampu memberi keuntungan politik kepada pemimpin. Wallahu'alam.
Ahad, 2 Mei 2010
ASAM GARAM BERFACEBOOK
Bila kita sudah mengambil keputusan untuk menulis nota atau memasukan gambar di dinding Facebook kita, apa lagi bila kita ‘tag’ rerakan kita pada nota atau gambar tersebut, maka kita secara automatik telah terdedah dengan pelbagai komen dan pandangan daripada rerakan kita atau rakan pada rakan kita.
Komen yang datang tentunya akan lahir dari pandangan yang berbeza-beza. Dah memang kata orang “ RAMBUT SAMA HITAM, HATI LAIN-LAIN ”. Apa lagi di zaman sekarang ini, warna rambut pun sudah beraneka…..selain hitam yang kemudiannya secara lumrah bila tiba masanya akan menjadi putih kini ada pula warna maroon, hijau, perang dan macam2 lagi.
Nah…sebenarnya kita harus bersedia dengan setiap komen atau pandangan. Pro atau kontra, itu lain cerita. Kalau kita rasa komen atau pandangan yang diberikan rakan adalah baik, bersyukurlah..! TAPI kita tidak seharusnya menganggap komen atau pandangan yang tidak menyebelahi kita sebagai negatif dan tidak baik.
Kalau kita hanya mengharapkan komen2 yang positif, tak payahlah pos nota atau gambar pada dinding kerana ia masih boleh dibaca oleh pengguna FB khususnya rerakan kita. Lebih baik nota atau gambar diposkan melalui sms FB untuk rerakan tertentu sahaja. Melalui sms hanya rakan yang dipilih sahaja yang dapat melihat dan membaca gambar atau nota kita….Selamat….tak terdedah dengan komen2 negatif.
KALAU TAKUT DILAMBUNG OMBAK, JANGAN BERUMAH DI TEPI PANTAI….KALAU TAKUT DENGAN RISIKO, JANGAN BICARA TENTANG PERJUANGAN…KALAU TAKUT DIKOMEN, JANGAN POS NOTA/GAMBAR DI DINDING FB……..KITA TERDEDAH DENGAN PELBAGAI KEMUNGKINAN. FIKIR-FIKIRKAN….JANGAN SUDAH TERHANTUK BARU TERNGADAH.
Sabtu, 1 Mei 2010
Benarkah Sabah Termiskin?
Sebenarnya saya kebingungan, bagaimana bisa terjadi negeri ini negeri termiskin. Apakan daya, statistik sudah membuktikan ia begitu. Cuma saya masih belum mengetahui dari mana dan bagaimana statistik ini disediakan. Agensi atau jabatan manakah yang dipertanggungjawabkan untuk membuat kajiselidik. Apakah kaedah kajiselidik yang dijalankan dan sejauh mana ketelusannya. Ini yang menjadi persoalan.
Sebagai contoh, sekiranya perangkaan kadar kemiskinan diambil daripada senarai pemohon bantuan di bawah skim PPRT, maka statistik kadar kemiskinan yang menunjukan Sabah sebagai negeri termiskin tidak tepat. Saya katakan tidak tepat kerana:
1. saya yakin kebanyakan senarai masih mengandungi nama-nama pemohon yang sudah meninggal dunia.
2. ada pemohon yang disenaraikan dan didapati tidak layak tetapi tidak pula dikeluarkan daripada senarai.
3. ada juga pemohon yang tidak layak tetapi telah didaftar sebagai penerima bantuan.
Nah.....jika benar statistik yang dikeluarkan berpandukan senarai PPRT, tidak mustahil Sabah tergolong dalam kategori negeri termiskin kerana di Papar sahaja, senarai ini hampir mencapai 6ribu termasuklah pemohon yang tidak layak tetapi menerima bantuan dan yang tidak dikeluarkan nama mereka daripada senarai. Sudahnya bilangan nama pemohon akan terus bertambah dari tahun ke tahun yang mengakibatkan bilangan orang miskin tidak pernah berkurangan.
Selain contoh kecil ini, masih banyak lagi faktor yang dipercayai turut menyumbang ke arah timbulnya masalah ini. Tetapi cukuplah buat masa ini. Saya tampilkan sekadar untuk dikongsi dan difikirkan bersama akan rasionalnya. Mnasabah atau tidak terserahlah kepada anda menilainya. Wallahualam.
Ahad, 25 April 2010
JANGAN MEMISKINKAN DIRI - NANTI ALLAH RESTUI
Memang benar semua warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun dan telah mendaftar kepada SPR diangap layak mengundi. Namun bukan itu kriteria yang melayakan seseorang menerima bantuan khususnya di bawah program rakyat termiskin dan sekarang ini dikenali sebagai E-Kasih.
Senario yang berlaku sekarang, ramai juga pesara dan bakal pesara kerajaan yang ingin menikmati bantuan injin sangkut dan perahu, bantuan yang diberikan kerajaan kepada kaum Nelayan. Kononnya nak menyambung kehidupan dengan menjadi nelayan.
Persoalannya, mampukah mereka menjadi nelayan? Apakah kedudukan mereka semasa berkhidmat dengan kerajaan? Kalau pencen bulanan pun lumayan...Kalau latarbelakang bukan seorang nelayan....mengapa nak jadi nelayan. Kemudian bila kerajaan atau wakil rakyat tak bagi, mulalah memberontak....tak nak undi kerajaan lagi.....parah sekali hati nurani mereka ini.
Jangan hanya kerana mahu mendapat apa yang orang lain dapat, kita sewenangnya lupa diri. Lupa bahawa kita sebenarnya tidak layak. Lupa bahawa ada orang lain lagi yang lebih layak menerima bantuan itu.
Tahu dan sedarkah kita, dengan bersikap begini, sedar tak sedar kita sebenarnya memiskinkan diri sendiri hanya kerana tidak mahu ketinggalan atau dalam bahasa Brunei " nda mau kasiritan ". Ingatlah kepada nasib saudara-saudara kita yang kurang berkemampuan. Bertolak ansurlah sedikit. Jangan tamak dan haloba. Kita sudah mendapat ganjaran daripada kerajaan dengan diberikan kesempatan untuk menjawat jawatan.
Kalau sampai bantuan untuk orang lain pun kita nak sapu, apalah lagi yang mampu diperolehi oleh golongan susah ini. Jika nak jadi nelayan untuk menyambung kehidupan rasanya wang ganjaran perkhidmatan lebih daripada cukup untuk membeli injin sangkut dan perahu serta kelengkapan lain. Selebihnya kita akan layak juga mendapatkan subsidi kerajaan berupa subsidi petrol dan mungkin elaun sara hidup.
Jangan terlalu ikutkan perasaan dengki, irihati dan tamak yang tak berkesudahan. Cubalah menjadi insan yang BERDIKARI. Percayalah, kerajaan juga akan menyediakan bantuan kepada rakyatnya yang rajin dan tekun berusaha. InsyaAllah.
JANGAN SAMPAI KITA JADI BENAR-BENAR MISKIN HANYA KERANA SIKAP KITA YANG SUKA MEMISKINKAN DIRI UNTUK MENDAPATKAN SESUATU.